Empat sekeluarga pilih Islam

Empat sekeluarga pilih Islam

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 5 Jun – Sebuah keluarga berbangsa Iban dari Kampung Sumbiling Baru, Daerah Temburong, telah melafazkan dua kalimah syahadah di Majlis Pengislaman yang berlangsung di salah sebuah rumah di kampung berkenaan.

Majlis pengislaman empat sekeluarga itu telah disempurnakan di hadapan Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, selaku tetamu kehormat majlis, yang turut menyampaikan cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan.

Awang Degelas anak Menchok, 42, telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Ashim Amrullah bin Abdullah Menchok, dan isterinya, Dayang Magerit anak Lanchap, 42, kini dikenali sebagai Ainul Mardhiyah binti Abdullah Lanchap.

Manakala dua anak mereka, Andy Harris, 17 dan Weiny Pesely, 7, masing-masing memilih nama Islam mereka sebagai Muhammad Qayyum dan Ainnur Amniyah.

Datin Hajah Adina bergambar ramai bersama saudara-saudara baru yang diraikan di majlis itu.
Datin Hajah Adina bergambar ramai bersama saudara-saudara baru yang diraikan di majlis itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Penghulu Mukim Amo, Haji Bahrom bin Haji Talip, para pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah Daerah Temburong dan para jemputan serta kaum keluarga.

Selepas keempat-empat ahli keluarga berkenaan melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengislaman di hadapan pegawai-pegawai pengislaman dari Pusat Dakwah Islamiah Daerah Temburong, majlis turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai oleh tetamu kehormat serta para jemputan.

Bagi memberkati majlis yang penuh rahmat ini, doa selamat dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Selangan, Haji Madini bin Haji Kamis.

ARTIKEL YANG SAMA