Empat suspek dikaitkan pengganas ditangkap di M’sia

Empat suspek dikaitkan pengganas ditangkap di M’sia

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Tiga warga asing dan seorang rakyat Malaysia telah ditangkap antara 2 Ogos dan 17 September kerana didakwa terbabit dalam pelbagai kumpulan pengganas, termasuk Kumpulan Negara Islam (IS), kata polis Malaysia dalam kenyataannya hari ini.

Seorang suspek lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun, ditahan pada 19 Ogos bagi penyeludupan senjata untuk kumpulan pengganas antarabangsa yang tidak dinamakan, menurut kenyataan itu. Nama suspek tersebut juga berada dalam catatan Notis Merah Interpol.

Seorang lagi suspek lelaki warga Nepal berusia 38 tahun, dituduh memalsukan dokumen bagi memudahkan perjalanan pengganas.

Suspek ketiga, seorang lelaki Maghribi berusia 26 tahun, disyaki menjadi ahli IS. Beliau pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki kerana cuba memasuki Syria. Selepas itu, tanpa diketahui bagaimana, beliau berjaya secara haram memasuki Malaysia. Ketiga-tiga suspek telah dihantar pulang ke negara asal mereka, kata kenyataan itu.

Manakala, seorang lagi suspek tempatan telah ditahan kerana dipercayai terlibat dengan Mohamad Wanndy Mohamad Jedi, lelaki yang dipercayai menjadi dalang serangan berkaitan IS yang pertama di Malaysia pada bulan Jun. Beliau didapati menggalakkan propaganda IS dan ideologi melalui laman Facebooknya. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA