Empat ubat tradisional tercemar

Empat ubat tradisional tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Empat ubat tradisional yang dipasarkan di negara ini telah didapati tercemar dengan bahan racun berjadual dan ubatan-ubatan barat yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Menurut daripada kenyataan Kementerian Kesihatan, sampel produk-produk berkenaan telah diperolehi daripada aktiviti pemantauan dalam pasaran di kedai-kedai runcit yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Produk-produk yang tercemar itu ialah Kovix’s Eucommia Plus Capsule (dari Hui Chun Tong Pharmaceutical Co. Ltd, Hongkong) yang dicemari dengan Dexamethasone,; Zhika Pipadan Pill (Shanghai, China) dicemari Chlorpheniramine, diclofenac, prednisolone dan dexamethasone; Hui Choon Ginseng Pill (Tongsheng Pharmaceutical Co. Ltd, Hong Kong) dicemari Chlorpheniramine dan dexamethasone; dan Obat Tradisional Sarang Semut Sirih Merah (Sarmut) dari PJ Cospleng Jaya, Indonesia yang dicemari dengan Diclofenac, phenylbutazone dan dexamethasone.

Kementerian Kesihatan berkata bahawa bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

Pening, tekanan darah menurun, denyutan jantung yang tidak menantu, kekeliruan, kemurungan dan sawan adalah antara kesan-kesan buruk yang boleh terhasil daripada penggunaan Chlorpheniramine tanpa pengawasan. Manakala itu, penggunaan Phenylbutazone dan diclofenac tanpa pengawasan boleh menyebabkan ulser peptik, pendarahan gastro-usus, loya, muntah-muntah, ruam kulit, kabur penglihatan, edema, penyakit kuning dan kegagalan buah pinggang.

Phenylbutazone juga sering dikaitkan dengan kesan sampingan yang teruk seperti penyakit darah yang serius. Kementerian Kesihatan menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan daripada dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera. Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika telah mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras.

ARTIKEL YANG SAMA