Empat warga Bangladesh mengaku bersalah

Empat warga Bangladesh mengaku bersalah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Empat orang warga Bangladesh yang berdepan pertuduhan menculik rakan senegara dengan niat untuk mengurungnya telah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Mahbub Solaiman Patwary, 45, Moniruzzaman Monir, 33, Mohammad Zakir Hossain, 24, dan Anwar, 47, didakwa menculik Rezaul Karim pada 22 Oktober di kawasan berdekatan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

Pada kejadian itu, mangsa tiba di kawasan berdekatan Maktab Sains bersama tiga orang rakannya dalam sebuah kereta.

Keempat-empat tertuduh terus menangkap mangsa dan membawanya lari dari tempat kejadian manakala rakan mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Tertuduh membawa mangsa ke sebuah rumah di Kampung Sungai Bakong, Lumut, Belait dan mengurungnya di dalam bilik.

Mereka mengambil wang $300 daripada mangsa di mana Moniruzzaman turut memukul mangsa dengan menggunakan rantai besi.

Mangsa terus dikurung dan tidak dibenarkan keluar sehingga dia membayar hutangnya.

Pada 24 Oktober, polis menerima maklumat mengenai mangsa yang dilihat berada di sebuah restoran di Bunut.

Setiba di restoran itu, polis memberkas Mahbub yang ketika itu bersama mangsa.

Polis juga berjaya memberkas Moniruzzaman, Mohammad Zakir dan Anwar tidak lama kemudian.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Dato Paduka Steven Chong dimaklumkan bahawa mangsa berhutang wang berjumlah $29,400 dengan Mahbub.

Wang itu digunakan mangsa untuk mendapatkan visa buat saudaranya di Bangladesh.

Sementara itu, Moniruzzaman yang turut berurusan dengan rakan niaga mangsa untuk mendapatkan visa telah membayarnya $26,000 namun tiada visa diperolehi di mana rakan niaga mangsa kemudian menghubungi Moniruzzaman dan memberitahu dia telah dilarang daripada memasuki Brunei.

Hakim menetapkan 19 Disember untuk menjatuhkan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA