Empat warga tempatan dihadapkan ke mahkamah

Empat warga tempatan dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Empat warga tempatan yang berdepan pertuduhan mencederakan, melakukan peras ugut dan merompak seorang lelaki tempatan pada 2 November, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas tuduhan tambahan.

Aldani bin Awang Kifli, 33, kini berdepan tuduhan memeras wang $100 daripada mangsa, dan menampar mukanya pada 2 November dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan. Kanafiah@Jofree bin Japar, 50, yang turut memeras wang daripada mangsa berdepan dengan kesalahan tambahan iaitu memukulnya dengan menggunakan pemukul bola lisut.

Mohd Hairul Azmi bin Haji Jumat, 31, berdepan tuduhan mencederakan mata kanan mangsa menggunakan pemukul bola lisut, memukul dan menampar muka mangsa dan melakukan kekerasan dengan mengarahkan mangsa untuk berbogel bagi tujuan merakam mangsa.

Mohd Hairul juga didakwa dengan tuduhan membuang harta yang dipercayai barang curi iaitu telefon bimbit pada 4 November.

Manakala itu, Norazatul Amal Nazirah @ Norhafrini binti Norariffin, 20, juga berdepan mencederakan mangsa dengan mengurungnya untuk mendapatkan wang $100 dan turut menawarkan seks kepada mangsa dengan pembayaran $100. Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman dalam prosiding semalam membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin untuk kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 10 Disember.

Sementara itu, dalam bilik mahkamah yang lain untuk kes yang sama, Nurul Iffah Alya Nurana @ Nabilah binti Salim, 29, yang berdepan dakwaan melakukan peras ugut dengan menghunus parang dan mengacukannya ke arah mangsa yang sama dan mengancam untuk mencederakannya akan berdepan tuduhan tambahan. Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin memaklumkan kepada Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin bahawa dia akan mengemukakan tuduhan baru ke atas mangsa dan memohon kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Kanan membenarkan permohonan dan menetapkan 10 Disember untuk kes didengar di Mahkamah Tinggi. Kesemua tertuduh diarahkan untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sementara menunggu sebutan seterusnya.

ARTIKEL YANG SAMA