Enam disenaraihitamkan di Sudan Selatan – PBB

Enam disenaraihitamkan di Sudan Selatan – PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat, 2 Julai (AFP) – Majlis Keselamatan PBB semalam mengenakan sekatan ke atas enam orang pemerintah dari Sudan Selatan, yang pertama disenaraihitamkan di sebuah negara yang menjadi medan peperangan selama 18 bulan dan mencetuskan keganasan dahsyat.

Enam orang jeneral itu – tiga dari pasukan kerajaan dan tiga dari kumpulan pemberontak – telah dihukum dengan tegahan perjalanan sejagat dan pembekuan aset kerana peranan mereka dalam konflik yang semakin teruk tersebut.

Britain, Perancis dan Amerika Syarikat telah mengemukakan enam nama berkenaan kepada jawatankuasa sekatan yang baru dibentuk dan ditubuhkan pada bulan Mac oleh Majlis Keselamatan selepas siri-siri gencatan senjata yang gagal berturut-turut.

Dari pihak kerajaan, ketiga-tiga mereka itu ialah: Mejar Jeneral Marial Chanuong Yol Mangok, pemerintah pengawal presiden, Presiden Salva Kiir; Leftenan Jeneral Gabriel Jok Riak, yang pasukannya bertempur di Negeri Unity; dan Mejar Jeneral Deng Wol, yang mengetuai serangan di Negeri Unity dalam bulan Mei yang menyaksikan kanak-kanak, wanita dan lelaki-lelaki tua dibunuh.

Dari pihak pemberontak, sekatan disasarkan kepada Mejar Jeneral Simon Gatwech Dual, ketua kakitangan am, Mejar Jeneral James Koang Chuol, yang mengetuai serangan di Negeri Upper Nile dan Jeneral Peter Gadet, timbalan ketua turus operasi pemberontak.

“Seperti yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Majlis Keselamatan hari ini, mereka yang melakukan kekejaman dan menjejaskan keamanan akan menerima akibat,” Duta Amerika Syarikat Samantha Power berkata dalam satu kenyataan.

Power menggesa kedua-dua belah pihak :mengetepikan cita-cita sendiri, menamatkan pertempuran, dan terlibat dengan rundingan untuk mewujudkan kerajaan peralihan.”

Beliau memberi amaran bahawa sekatan tambahan boleh dikenakan.

Sudan Selatan telah musnah akibat peperangan sejak Disember 2013 antara pasukan yang setia kepada Kiir dan pemberontak bersekutu dengan bekas timbalannya, Riek Machar.

ARTIKEL YANG SAMA