Enam finalis pertandingan ‘Sirah Nabi Adikku Sabah FM’ Jumaat ini

Enam finalis pertandingan ‘Sirah Nabi Adikku Sabah FM’ Jumaat ini

KOTA KINABALU, 15 Okt – Enam pelajar dari lima sekolah seluruh Sabah akan menyertai pertandingan akhir ‘Sirah Nabi Adikku Sabah FM 2015’, Jumaat.

Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah Ali Ngasio berkata peserta berumur 10 hingga 12 tahun itu akan mempamerkan kreativiti dan kemahiran mereka bercerita tentang kehidupan dan sejarah Nabi Muhammad SAW serta pengikut Baginda.

Pertandingan akan disiar secara langsung dari Hotel Tabung Haji di sini.

“Ini merupakan kali kelima acara ini dianjurkan oleh RTM Sabah bertujuan menggalakkan perkembangan sahsiah kanak-kanak serta memberi penghargaan yang besar terhadap pendidikan moral Nabi Muhammad SAW serta pengikut Baginda,” kata Ali pada sidang media Khamis.

Beliau berkata peserta itu ialah Anas Najmizamshah Mardahsah dari SK Sungai Tongkang, Tawau; Afifah Ismahani Tamin (SRI Al-Hafidz Bandar Sierra); Mohd Zulasmizam Jeferedin (SK Semporna, Semporna); Mohd Hisyamuddin Mohd Zainuddin dan Nur Izzati Najwa Mohd Jabit (SRI Al-Hafidz, Tuaran) serta Muhammad Adib Fahmie Mujahidien (SRK Lok Yuk, Likas, Kota Kinabalu).

Ali berkata pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM3,500, tempat kedua RM2,500, ketiga RM1,500 manakala peserta lain akan menerima RM500 setiap seorang.

Hadiah wang tunai RM500 juga akan disampaikan kepada penulis skrip dan persembahan terbaik.

Katanya uji bakat bermula Ogos lepas dan 14 peserta bertanding di peringkat separuh akhir pada 20 September.

Acara disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Pusat Zakat Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah dan Perbadanan Baitulmal. – Bernama