Enam hari di Etiopia cetus keinsafan diri

Enam hari di Etiopia cetus keinsafan diri

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Peter Dalglish, warga Kanada yang terkenal sebagai aktivis kemanusiaan, dan bekas duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah mengasaskan Street Kids International, hari ini, telah menyampaikan ceramah bagi pelajar menengah Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) di Auditorium, Pusat Kesenian JIS.

Dalam ceramah Minggu Keamanan yang membawa tajuk ‘Following Another Path’ itu, beliau telah bercakap tentang mengapa pelajar harus mempertimbangkan kerjaya yang berkaitan dengan hak asasi manusia, cabaran alam sekitar, keadilan sosial dan pembangunan antarabangsa.

Dalglish menjelaskan bagaimana beliau telah memilih jalan dalam kerja-kerja kemanusiaan, memperincikan latar belakangnya yang datang daripada keluarga kurang bernasib baik namun berpendidikan tinggi.

Beliau kemudiannya belajar di Stanford University dan akhirnya mendapat pekerjaan di sebuah firma undang-undang.

Apa yang mendorongnya kepada kerja-kerja kemanusiaan adalah semasa kes kebuluran di Etiopia pada tahun 1984. Di mana beliau tinggal di kem Etiopia selama enam hari bagi membantu doktor dan memberi makan anak-anak yang kelaparan.

Peter Dalglish ketika menyampaikan ceramahnya kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Atas JIS.
Peter Dalglish ketika menyampaikan ceramahnya kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Atas JIS.

Ketika itulah beliau terpegun dengan apa yang telah beliau saksikan dan orang-orang yang ditemuinya. Beliau menjelaskan bahawa sepanjang enam hari berada di Etiopia itu telah mengubah hidup dan menginsafkan dirinya.

Ilham berkenaan, tambahnya, akhirnya membawa beliau untuk berhenti bekerja di firma guamannya, di mana rakan-rakannya bingung dengan keputusan beliau yang berusia 26 tahun ketika itu untuk meneruskan jalan yang berbeza bagi dirinya sendiri.

Beliau kemudiannya berkongsi gambar-gambar yang diambil menerusi pekerjaannya iaitu wajah-wajah kanak-kanak yang beliau temui.

Kebanyakan daripada kanak-kanak berkenaan hidup dalam keadaan susah dan bergelut, tetapi dia juga mencontohi bagaimana kanak-kanak ini dapat berkembang maju dalam kerja-kerja kemanusiaan, jalan yang beliau mahukan orang lain untuk mempertimbangkan dan mengikutinya.

Sementara itu, semasa sesi soal jawab, beliau berkata, “Apa yang saya bimbangkan mengenai anda adalah rakyat mengharapkan anda. Dan harapan yang cukup tradisional seperti kerja pejabat, mungkin bank, mungkin sebuah syarikat.

“Cuma pastikan bahawa duduk di pejabat selama 30 tahun adalah apa yang anda mahu lakukan. Ingat, ia adalah kehidupan anda, bukan kehidupan ibu bapa anda, bukan kehidupan bapa saudara anda, ia adalah kehidupan anda,” ujarnya.

Para pelajar ketika mendengarkan ceramah Peter Dalglish yang bertajuk ‘Following Another Path’.
Para pelajar ketika mendengarkan ceramah Peter Dalglish yang bertajuk ‘Following Another Path’.

Bertepatan dengan tema Minggu Keamanan JIS pada tahun ini iaitu ‘Kesaksamaan Jantina’ dan ‘Memperkasakan Wanita’, Dalglish ketika ditemui Media Permata mengulas bahawa salah satu pelaburan terbaik bagi tujuan ini adalah untuk melabur dalam wanita yang mampu membaca di negara-negara mundur dan untuk menggalakkan wanita dalam bidang keusahawanan.

Beliau menjelaskan bahawa wanita mempunyai kelebihan dari segi kewangan lebih baik berbanding lelaki apabila mereka diberi wang tunai bagi memulakan perniagaan.

Minggu Keamanan telah diraikan setiap tahun di JIS dan tema pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran menangani kesaksamaan jantina dan memperkasa wanita dan kanak-kanak perempuan berdasarkan matlamat kelima PBB dalam ‘17 Matlamat untuk Mentransformasikan Dunia Kita’, kempen dalam Matlamat Pembangunan Mapan PBB.

Sempena Minggu Keamanan, pada hari ini, para pelajar telah memakai pakaian kasual dalam tiga warna (biru, merah jambu, putih) dengan sumbangan sebanyak $2.

Wang yang dikumpulkan akan didermakan kepada Projek Borneo dan Projek Amal Kemboja.

Pada waktu tengah hari, acara telah dimeriahkan dengan pelbagai permainan dan aktiviti di Padang Gimnasium JIS, yang telah dianjurkan sepenuhnya oleh ketua-ketua rumah sekolah menengah atas dan timbalan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA