Enam keluarga terima sumbangan KBSentral

Enam keluarga terima sumbangan KBSentral

Oleh Normazlina M.D

 

KUALA BELAIT, 27 Jun – Pusat Membeli-Belah KBSentral, turut tidak ketinggalan untuk beramal di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan menghulurkan derma kepada enam orang daripada keluarga yang kurang bernasib baik dalam usaha amal Kempen Derma Limpahan Kasih.

Sumbangan-sumbangan telah disampaikan dalam kunjungan ke rumah-rumah penerima yang dianjurkan oleh pihak pengurusan KBSentral dan turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengurus Acara dan Pemasaran KBSentral, Awang Anwar bin Rosly. Beliau menjelaskan bahawa bantuan derma itu bertujuan untuk mengurangkan beban keluarga penerima dalam bulan Ramadan ini. Usaha amal berkenaan merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat pusat membeli-belah berkenaan untuk memberi bantuan kepada keluarga yang kurang bernasib baik dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya yang akan datang.

Antara kakitangan KBSentral yang mengikuti aktiviti sumbangan amal tersebut.
Antara kakitangan KBSentral yang mengikuti aktiviti sumbangan amal tersebut.

Antara sumbangan yang diberikan ialah barangan dapur bernilai $150 daripada KBSentral sendiri serta sumbangan Pasar Raya Jaya Hypermart seperti ketuhar pembakar roti berjenama Pensonic, minuman tin, Mee Goreng Sedap dan Soto Sedap, beras dan Jacob’s Creamy Crackers.

Di samping menyampaikan derma, dalam kunjungan itu rombongan KBSentral turut berkesempatan beramah mesra dengan keluarga penerima, mengenali mereka dan memahami masalah serta mengambil berat akan kesejahteraan mereka semua.

ARTIKEL YANG SAMA