Enam lagi TKPM dibangun di Sarawak

Enam lagi TKPM dibangun di Sarawak

KUCHING, 10 April (Bernama) – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membangunkan enam lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sarawak secara berperingkat bermula tahun ini sehingga 2018.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian melalui Jabatan Pertanian Sarawak telah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai bagi tujuan itu, antaranya di Bau, Betong, Limbang dan Tanjung Manis.

Beliau berkata Sarawak ketika ini mempunyai empat TKPM iaitu di Semenggok dan Rampangi dekat sini, Miri (TKPM Kabuloh) dan Mukah (TKPM Penipah).

“Tambahan itu akan menjadikan Sarawak secara keseluruhannya mempunyai 10 TKPM nanti,” katanya selepas melawat pelaksanaan Projek Perintis Penggunaan ‘Effective Microorganism’ (EM) Secara Skala Besar di TKPM Semenggok, di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyembur Pro Bio Organic Probiotic pada tanaman jagung di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pada majlis pelaksanaan projek perintis penggunaan ‘Effective Microorganisms’ (EM) berskala besar di Semenggok, kelmarin.
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyembur Pro Bio Organic Probiotic pada tanaman jagung di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pada majlis pelaksanaan projek perintis penggunaan ‘Effective Microorganisms’ (EM) berskala besar di Semenggok, kelmarin.

Katanya ketika ini 75 TKPM dilaksanakan di seluruh negara yang melibatkan 1,200 peserta, dengan masing-masing peserta diperuntukan tanah seluas empat hingga lima hektar untuk mengusahakan tanaman seperti sayuran, jagung, pisang dan jambu batu.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata projek TKPM Semenggok yang dimulakan pada 2015 di atas kawasan seluas 54 hektar, melibatkan 10 belia berumur 40 tahun ke bawah, dan tanaman mereka dipasarkan ke daerah yang berdekatan.

Beliau berkata TKPM Semenggok merupakan projek perintis skala besar yang menggabungkan penggunaan mikroorganisme berfaedah dalam pertanian.

Antara infrastruktur yang dibangunkan kementerian di setiap kawasan TKPM adalah pusat pengumpulan hasil, jalan ladang dan bekalan air serta elektrik.