Enam letupan bom di Pattani

Enam letupan bom di Pattani

PATTANI, 31 Mac (Bernama) – Enam butir bom meletup di sekitar pekan Yaring di sini malam tadi, menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan di pekan itu selain mencederakan lima anggota polis yang sedang bertugas.

Ketua Polis Daerah Yaring Pol. Kol. Montree Khonwadmai berkata letupan bom itu berlaku sekitar 11 malam, di hadapan sebuah bank, pejabat koperasi, beberapa premis perniagaan dan rumah ketua kampung.

“Kelima-lima anggota polis terbabit cedera apabila sebutir bom diletak di hadapan rumah ketua kampung meletup ketika mereka sedang menjalankan tugas,” katanya hari ini dan menambah, kesemua mangsa mendapat rawatan di Hospital Pattani.

Anggota tentera memeriksa tapak serangan bom di daerah Yering di wilayah bergolak di selatan Pattani, Thailand, kelmarin. – Reuters
Anggota tentera memeriksa tapak serangan bom di daerah Yering di wilayah bergolak di selatan Pattani, Thailand, kelmarin. – Reuters

Sementara itu, penghuni yang tinggal dalam kedai runcit, Suprani Pechwilai, 66, berkata, beliau dan lima cucunya nyaris maut apabila premis didiaminya itu rosak teruk akibat dibom.

Anggota polis menyelamatkan mereka selepas kejadian itu, katanya.

Menurut Montree, pihak polis percaya 10 suspek terlibat dalam kejadian serangan bom itu tetapi akan menjalankan siasatan lebih lanjut termasuk mengenal pasti individu bertanggungjawab menerusi rakaman kamera litar tertutup.