Enam maut serangan pengganas

Enam maut serangan pengganas

NEW DELHI, 27 Julai (Bernama) – Sekurang-kurangnya enam orang termasuk dua anggota polis dan seorang penumpang bas terbunuh apabila beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang ke atas sebuah balai polis dan stesen bas di Gurdaspur, Punjab, kira-kira 400km dari sini awal hari ini, demikian menurut laporan media tempatan.

Sekurang-kurangnya 12 orang cedera parah dalam kejadian itu, kata mereka. Dengan keadaan yang masih berlaku pada pukul 9.30 pagi (waktu tempatan), polis juga menemukan lima butir bom hidup di atas landasan kereta api bagi laluan Pathankot-Amritsar, tidak jauh dari balai polis Dinanagar di mana serangan pertama berlaku. Dilaporkan bahawa penyerang yang terdiri daripada lima hingga enam orang berpakaian tentera, melepaskan tembakan ke atas sebuah bas bagi perjalanan ke Jammu pada 5.45 pagi, membunuh seorang penumpang dan mencederakan beberapa yang lain.

Beberapa lelaki bersenjata kemudian merampas sebuah kereta sebelum menyerang balai polis berdekatan, membunuh dua anggota polis yang bertugas, kata laporan media. Dengan pihak polis dan tentera menjalankan operasi “pembersihan”, pihak media melaporkan bahawa jumlah mangsa mungkin meningkat.

Anggota polis Punjab mengambil kedudukan ketika berdepan dengan kumpulan bersenjata yang menyerang balai polis dan stesen bas di bandar Dinagar di daerah Gurdaspur, negeri Punjab, pada 27 Julai 2015. – AFP
Anggota polis Punjab mengambil kedudukan ketika berdepan dengan kumpulan bersenjata yang menyerang balai polis dan stesen bas di bandar Dinagar di daerah Gurdaspur, negeri Punjab, pada 27 Julai 2015. – AFP

Sementara itu, anggota polis dan anggota para militari ditempatkan di ibu kota ini, terutama berhampiran Mahkamah Agung yang ditetapkan untuk mendengar permohonan Yakub Memon bagi menggantung pelaksanaan hukuman gantung ke atasnya pada 30 Julai berhubung kejadian letupan bom di Mumbai pada 1993 yang meragut 257 nyawa dengan 1,400 orang lagi mengalami kecederaan kritikal.

ARTIKEL YANG SAMA