Enam pasukan beraksi rebut Piala Veteren

Enam pasukan beraksi rebut Piala Veteren

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Sebanyak enam pasukan bola keranjang veteran telah mengesahkan penyertaan dan akan beraksi bagi merebut Piala Veteren Concepts 2016 pada 15 Oktober ini nanti.

Perlawanan yang akan menentukan pasukan manakah yang bakal dinobatkan sebagai pasukan bola keranjang veteran terbaik di Brunei itu akan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA), Batu Bersurat, Gadong.

Kejohanan itu juga akan menyaksikan juara bertahan, Pasukan Concepts Computer yang mengesahkan penyertaan mereka dan berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Menurut pengurus pasukan tersebut, Vincent Pao, pasukannya akan terus mengekalkan sebilangan besar pemain daripada pasukan juara pada 2015 dan diperkukuhkan lagi dengan beberapa orang pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

Di samping itu, beliau juga berkata lagi selain Pasukan Concepts Computer, sebuah lagi pasukan iaitu Concepts Technologies juga akan diturunkan untuk memeriahkan lagi kejohanan berkenaan.

Pasukan gabungan Concepts Computer dan Concepts Technologies bergambar ramai bersama Pasukan M & F sebelum perlawanan persahabatan bermula.
Pasukan gabungan Concepts Computer dan Concepts Technologies bergambar ramai bersama Pasukan M & F sebelum perlawanan persahabatan bermula.

Dalam pada itu, sebagai persediaan bagi menghadapi kejohanan berkenaan, pemain-pemain gabungan pasukan Concepts Computer dan Concepts Technologies telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Media dan Rakan-rakan (M & F) yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat, kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan gabungan Concepts Computer dan Concepts Technologies berjaya menewaskan Pasukan M & F dengan jaringan 92-82.

Kejohanan Piala Veteran Concepts 2016 dianjurkan oleh BBA dengan kerjasama dan sokongan daripada Concepts Computer, di mana ia merupakan inisiatif tahunan BBA untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat melalui kegiatan sukan di kalangan pemain berusia 40 tahun ke atas serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai sukan bola keranjang di Brunei.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi memeriahkan serta memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam kejohanan berkenaan dan masuk adalah percuma.