Enam pemain Liverpool bakal disingkirkan

Enam pemain Liverpool bakal disingkirkan

LONDON, 29 Jun (Agensi) – Enam pemain bakal menjadi mangsa penyingkiran, termasuk bintang penyerang Itali, Mario Balotelli dalam usaha Liverpool membina semula pasukan bagi menghadapi musim baharu.

Pengurus Reds, Brendan Rodgers antara yang paling aktif dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini dan telah pun membawa masuk beberapa muka baharu seperti bintang tengah Brazil, Roberto Firmino, Danny Ings dan Adam Bogdan.

Malah pada minggu ini juga Liverpool meneruskan proses mendapatkan pemain selepas Southampton bersetuju dengan yuran perpindahan Nathaniel Clyne.

Pemain pertahanan Uruguay, Sebastian Coates antara yang hampir pasti meninggalkan Anfield bersama Rickie Lambert, Fabio Borini, Jose Enrique, Luis Alberto dan Balotelli.

Coates, 24, bakal menyertai Sunderland minggu ini dengan yuran perpindahan 4 juta pound.

Balotelli antara pemain yang tidak akan beraksi bersama Reds musim depan. - Reuters
Balotelli antara pemain yang tidak akan beraksi bersama Reds musim depan. – Reuters

Dalam pada itu, Liverpool hanya mendapatkan Clyne, 24, dari Southampton dengan nilai 10 juta pound, biarpun sebelum ini ada khabar angin mengatakan The Saints hanya akan menjual pemain pertahanan itu dengan harga 12.5 juta pound.

Sebaik kembali daripada cuti rehat, Clyne akan menyertai Merseyside hari ini atau lusa bagi menjalani ujian perubatan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh kelab tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool, Roy Evans mendakwa Raheem Sterling sudah pun dijual kepada Manchester City.

“Jika anda tengok aktiviti dalam pasaran pemain, melihat kepada pemain yang dibawa masuk oleh Reds mereka sebenarnya sudah sedia melepaskan Raheem,” ujarnya.