Enam pembantah diberkas di Vietnam

Enam pembantah diberkas di Vietnam

HANOI, 11 Jun (dpa) – Polis Vietnam memberkas enam penduduk kampung berhubung satu bantahan besar berkaitan pencemaran daripada kilang tenaga yang menggunakan arang batu pada April, menurut polis hari ini.

Mereka diberkas semalam kerana menyebabkan kekacauan awam dan menghalang pegawai daripada menjalankan tugas, kata Kolonel Pham Nhat, penolong pengarah polis di wilayah tengah, Binh Thuan.

Pada 14 dan 15 April, beribu-ribu penduduk kampung mengadakan sekatan di lebuh raya di daerah Tuy Phong selama 30 jam dalam bantahan tersebut.

Polis mengambil masa dua bulan untuk mengenal pasti suspek, kata seorang pegawai polis yang mengendalikan kes tersebut dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Angin kencang pada tahun ini membawa sejumlah besar debu arang ke kawasan perumahan dari kawasan seluas 15.3 hektar di mana saki-baki arang dari kilang Vinh Tan 2 dibuang tanpa ditutup.

Aduan berulang kali daripada penduduk kampung tidak dihiraukan, kata mereka.

Bantahan pada April menyebabkan lalu lintas tertahan 20 kilometer panjangnya di jalan besar negara yang menghubungkan Hanoi ke Bandar Ho Chi Minh.

Penduduk kampung juga melontar batu, bata dan bom gasolin pada polis rusuhan, mencederakan 17 pegawai dan memecah tingkap sebuah hotel.