Enam raih INSPIRE AiTi

Enam raih INSPIRE AiTi

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Seramai enam pelajar telah dianugerahkan program Internship INSPIRE Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) pada majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Bangunan AiTi, di sini, hari ini.

Penganugerahan program untuk menjalankan latihan selama lima bulan di Singapura tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abd Razak selaku tetamu kehormat.

Timbalan Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar dalam ucapannya berkata, ini merupakan tahun ketiga AITI menganugerahkan program pelajar ke luar negara dalam bidang ICT, penyiaran dan media.

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan pengalaman teknikal dan profesional yang akan melengkapkan para pelajar dengan bukan sahaja kemahiran teknikal teras tetapi juga kemahiran sebenar dalam bidang-bidang kerja yang berkaitan agar mereka bersedia untuk berkhidmat dengan lebih baik dalam bidang ini di masa akan datang,” jelasnya.

Menurutnya, para penerima anugerah adalah antara pelajar cemerlang yang dipilih oleh wakil ketua program masing-masing bagi program INSPIRE ini.

Penandatangan perjanjian di antara AiTi dan dua mahasiswi UBD (kanan) bersama penjamin mereka.
Penandatangan perjanjian di antara AiTi dan dua mahasiswi UBD (kanan) bersama penjamin mereka.
Dayang Tang Lai Horng @ Melisa menerima anugerah dari tetamu kehormat.
Dayang Tang Lai Horng @ Melisa menerima anugerah dari tetamu kehormat.
Antara mereka yang menghadiri majlis berkenaan di Dewan Seri Kerna, Bangunan AiTi, di ibu negara, kelmarin.
Antara mereka yang menghadiri majlis berkenaan di Dewan Seri Kerna, Bangunan AiTi, di ibu negara, kelmarin.

Terdahulu sebelum penyampaian anugerah, majlis turut menyaksikan penandatanganan perjanjian anugerah INSPIRE di antara AITI dan enam pelajar berkenaan.

Menandatangani bagi pihak AITI ialah Haji Jailani dan Pemangku Penolong Kanan Ketua Eksekutif AITI, Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad, sambil disaksikan oleh tetamu kehormat.

Para pelajar yang terpilih berkenaan terdiri daripada dua mahasiswi Universiti Brunei Darussalam iaitu Dayang Tang Lai Horng @ Melissa dan Dayang Sarah Jane; tiga dari Institut Teknologi Brunei (ITB) iaitu Awang Muhamad Nur Aiman bin Haji Jahari, Awang Mohd Hilmi Hyashamuddin bin Haji Abas dan Dayang Siti Nur Asyiqin binti Mohd Shahrin; dan seorang lagi dari Politeknik Brunei iaitu Awangku Mohamad Waqiuddin bin Pengiran Amiruddin.

Penerima-penerima anugerah daripada ITB dan Politeknik Brunei akan menjalani program latihan amali bermula dari 27 Julai hingga 31 Disember 2015 manakala pelajar UBD pula akan memulakan latihan pada 28 Julai hingga 31 Disember 2015.

Majlis itu turut mendengarkan perkongsian pengalaman tiga penerima anugerah INSPIRE pengambilan kedua yang menjalani

program latihan mereka tahun lalu di Singapura yang terdiri dari Awang Malai Ahmed Jazly bin Malai Hassan, Awang Mohd Dzulhakim Ilham bin Haji Mohd Yassin dan Dayang Siti Noora’zam binti Haji Abdul Kadir.

Program INSPIRE adalah sebahagian daripada kerjasama AITI di bawah Projek Addendum dan Projek Perjanjian, yang ditandatangani masing-masing dengan Media Development Authority of Singapore (MDA) dan IDA International PTE LTD semasa CommunicAsia di Singapura bulan Jun 2013.

Program berkenaan juga turut disokong oleh Jabatan Perancangan, Kemajuan Ekonomi (JPKE) dan dibiayai di bawah Program Pembangunan Kapasiti Manusia, Rancangan Kemajuan Negara ke-10.

ARTIKEL YANG SAMA