Enam sekolah di Sarawak siap dinaik taraf

Enam sekolah di Sarawak siap dinaik taraf

BINTULU, 18 Sept – Enam daripada 43 buah sekolah yang dinaik taraf tahun ini menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menggantikan bangunan sekolah daif dan lama di Sarawak, sudah pun siap.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata selain itu 13 sekolah masih dalam pembinaan, lapan di peringkat reka bentuk dan 16 lagi dalam perancangan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengambil maklum gesaan KetuaMenteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem agar sekolah daif di negeri itu segera dinaik taraf.

“Kementerian dan Jabatan Pendidikan Sarawak telah mula mengambil tindakan menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“Kita telah mengenal pasti 183 sekolah yang boleh kita bangunkan semula menggunakan kaedah IBS yang cepat, jimat dan selamat dari segi pembinaan.

Sekolah ini akan dinaik taraf secara berperingkat sehingga tahun 2020 dan senarai ini bukan sesuatu yang kekal…kita akan sentiasa memantau kalau ada lagi sekolah yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit dan SK Tatau yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bintulu.

Mengulas lanjut, Khair berkata selain menaik taraf bangunan sekolah, pihaknya merancang penyambungan elektrik kepada 50 sekolah yang berada dalam radius satu kilometer dari grid elektrik pada 2017, dan 58 sekolah lagi yang berada di luar radius satu kilometer dari grid elektrik pada 2018.

“Bagi penyambungan bekalan air awam pula, kita telah kenal pasti 51 sekolah untuk kita bekalkan air yang disediakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak tahun depan,” katanya.

Khir berkata dari segi meningkatkan kemudahan asas dan fizikal sekolah-sekolah di Sarawak, pihaknya sememangnya sudah bersama aspirasi ketua menteri untuk memastikan semua sekolah daif di negeri itu menerima kemudahan yang sama dengan sekolah di bandar dan juga negeri lain.

Sementara itu, Khair berkata pada masa akan datang, pembinaan sekolah perlu turut mengambil kira kemudahan asas di sekitar kawasan tapak yang dipersetujui berikutan wujud masalah selepas sekolah siap dibina seperti yang berlaku di SK Kelawit.

Menurutnya masalah bekalan air di SK Kelawit itu adalah kerana tiada kemudahan asas di sekitar kawasan tersebut. – Bernama