Enam wanita sertai kursus jurulatih

Enam wanita sertai kursus jurulatih

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Penyertaan buat pertama kalinya enam orang wanita menyertai Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi 2016 mendapat pujian daripada Jurulatih Kejurulatihan FIFA, Dato Yap Nyim Keong dari Malaysia.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Perkembangan Bolasepak Wanita di Asia berharap sejarah yang dilakar NFABD dalam memberikan peluang kepada wanita untuk berkecimpung dalam bidang kejurulatihan bola sepak itu akan dapat membuatkan bola sepak wanita berkembang maju seiring dengan bola sepak akar umbi di negara ini.

Dato Yap juga teruja menyaksikan pertambahan kelengkapan dan kemudahan yang dimiliki NFABD tetapi apa yang lebih penting menurutnya adalah adanya aktiviti yang dijalankan bagi menghidupkan kemudahan yang ada dan memanfaatkan segala kelengkapan yang ada.

Membuka rasmi kursus di NFABD House yang disertai seramai 31 orang peserta itu ialah ExCo NFABD, Awang Haji Mohd Noor bin Haji Hamid.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi 2016 termasuk enam orang wanita bersama Dato Yap (tiga kiri) dan Haji Mohd Noor (tiga kanan).
Para peserta Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi 2016 termasuk enam orang wanita bersama Dato Yap (tiga kiri) dan Haji Mohd Noor (tiga kanan).

Dalam ucapan perasmiannya beliau menyatakan bahawa NFABD dari masa ke semasa akan terus menganjurkan kursus-kursus kejurulatihan demi untuk meningkatkan mutu kejurulatihan bagi jurulatih tempatan terutama sekali jurulatih peringkat akar umbi.

Menurutnya lagi semua itu adalah hasil usaha yang gigih daripada para jurulatih yang ada di NFABD yang khusus ditumpukan kepada perkembangan bola sepak peringkat akar umbi.

Seiring dengan itu juga, NFABD akan menganjurkan kejohanan liga bola sepak peringkat umur 16 tahun ke bawah. Menerusi program-program latihan bolasepak berkenaan, beliau berharap para jurulatih yang menyertai kursus hari ini akan dapat mengorak langkah untuk melatih dan mencari pemain muda yang berbakat dan berpotensi untuk dijadikan sebuah pasukan bola sepak.

Beliau juga menambah kata, melalui kursus berkenaan, ia akan dapat membawa jurulatih untuk memperolehi kaedah, teknik dan taktik bola sepak dengan lebih baik dan berkesan untuk diguna pakai semasa melatih pasukan nanti.

ARTIKEL YANG SAMA