Enam warga asing diberkas

Enam warga asing diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Enam orang warga asing termasuk seorang perempuan telah ditahan apabila gagal menunjukkan pas imigresen yang masih sah dalam Operasi KESAN yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) pada malam 9 Mac lalu.

Operasi yang bermula dari jam 10:30 malam hingga 3:30 pagi itu melibatkan 17 orang pegawai itu menyasarkan tiga sasaran bilik sewa dan rumah sewa berasingan di Mukim Serasa dan Mukim Berakas.

Menurut kenyataan JIPK, semasa serbuan ke atas sebuah bilik sewa di Mukim Serasa, seorang perempuan warga asing didapati bersembunyi di sebalik pintu bilik yang dibuka oleh seorang lelaki warga asing.

Pada mulanya lelaki terbabit cuba mengelirukan pegawai yang bertugas seolah-olah dia hanya tinggal seorang diri di bilik tersebut.

Setelah tapisan lanjut dijalankan, perempuan terbabit telah pun menyerahkan pasport miliknya yang mengandungi pas imigresen yang telah pun mansuh selama 362 hari.

Pegawai bertugas ketika membuat tapisan dan catatan.
Pegawai bertugas ketika membuat tapisan dan catatan.
Seorang perempuan pesalah imigresen tinggal bersama suami di salah sebuah bilik sewa di Mukim Serasa.
Seorang perempuan pesalah imigresen tinggal bersama suami di salah sebuah bilik sewa di Mukim Serasa.
Pegawai bertugas ketika mengambil catatan yang diperlukan daripada beberapa warga asing.
Pegawai bertugas ketika mengambil catatan yang diperlukan daripada beberapa warga asing.

Jika sabit kesalahan dia akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen penggal 17 kerana tinggal di negara ini setelah pas imigresen mansuh.

Manakala itu, lelaki warga asing (suami) terbabit jika sabit kesalahan akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Bab 55(1)(d) Akta Imigresen Penggal 17 kerana memberikan perlindungan kepada seorang pesalah imigresen.

Menurut kenyataan itu lagi, keenam-enam warga asing berkenaan telah dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan untuk siasatan lanjut.

Bagi menyokong usaha penguatkuasaan, JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA