‘Endangered Brunei’ dilancar

‘Endangered Brunei’ dilancar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi spesies haiwan di negara ini, Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei, kelmarin, telah melancarkan buku warna bertajuk ‘Endangered Brunei’.

Penghasilan buku ini merupakan projek kerjasama dengan kelab pemuliharaan hidupan liar tempatan dan syarikat pemasaran Creativity180.

Pelancaran buku berkenaan telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer di majlis yang berlangsung di kediaman rasmi pesuruhjaya tinggi di Kampung Pelambayan, Kota Batu.

Buku mewarna untuk kanak-kanak itu merupakan buku pertama seumpamanya yang diterbitkan di negara ini, dan memaparkan 10 spesies haiwan tropika yang terdapat di Brunei, termasuk kokang, burung enggang hitam, ular sawa batik, kucing hutan, monyet belanda, pelanduk, tenggiling, keluang bakau, beruang madu dan katak pokok.

Di majlis pelancaran itu, video mengenai spesies terancam di Brunei turut ditayangkan, dan mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama ahli-ahli kelab mengenai kepentingan dalam menyokong usaha pemuliharaan dalam era perubahan iklim.

Buku mewarna berkenaan adalah sebagai projek terkini kelab tersebut dalam usahanya mempelbagaikan program pendidikan hidupan liar bagi menambah cara pengajaran interaktif kepada belia Brunei.

TYT Todd Mercer dalam ucapannya berkata, beliau datang dari negara yang sangat menghargai flora dan fauna serta pemuliharaan alam semula jadi.

“Jadi adalah menggalakkan dan memberi inspirasi untuk melihat kebangkitan pergerakan akar umbi menyokong usaha pemuliharaan di Brunei, sebuah negara yang diberkati dengan kekayaan kepelbagaian bio hutan yang terlalu besar dan cara-cara untuk memuliharanya,” ujar beliau.

ARTIKEL YANG SAMA