Enggan mengaku bersalah selepas ditipu ejen

Enggan mengaku bersalah selepas ditipu ejen

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Seorang lelaki Indonesia yang datang ke Brunei Darussalam untuk menyelesaikan masalah adik perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan tinggal di negara ini selama 166 hari selepas pas lawatan mansuh.

Iansyah Arahman, 33, memberitahu Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain bahawa dia telah menyerahkan pasportnya untuk diperbaharui kepada seseorang yang didakwanya adalah ejen.

“Kenapa tidak ada tindakan dibuat terhadap ejen yang menipu saya,” kata defendan.

“Adakah kamu sudah memberikan segala maklumat mengenai ejen itu kepada pihak imigresen,” tanya Majistret Kanan di mana defendan menjawab ‘Ya’.

pg06_150819_mahkamah logo

“Kalau sudah, saya percaya pihak imigresen akan menjalankan siasatan mereka,” kata Majistret Kanan sambil menambah adalah juga menjadi tanggungjawab defendan untuk memastikan pas lawatannya itu sudah diperbaharui atau belum, dan tidak seharusnya menyerahkan bulat-bulat kepada ejen terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti Haji Abas memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan kepada defendan, dan akan memanggil tujuh orang saksi.

Defendan pula akan memanggil empat orang saksi sebagai pembelaannya.

Fakta kes menyebut, defendan ditahan di rumah sewa di Kampung Lambak Kiri pada 14 Ogos 2015 kira-kira jam 1:28 pagi apabila didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Siasatan mendapati, defendan memasuki negara ini pada 15 Februari 2015 melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah dan diberikan pas lawatan yang sah sehingga 1 Mac 2015.

Defendan mengaku telah memberi pasportnya berserta wang $50 kepada seorang lelaki bernama ‘Pak Ali’ untuk memperbaharui pas lawatannya namun sistem pangkalan data imigresen menunjukkan tidak ada pembaharuan dibuat pada pas lawatan defendan. Defendan juga didapati tidak berusaha untuk membuat laporan kehilangan pasportnya kepada pihak berkenaan.Majistret Kanan menetapkan 1 September untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA