Enggan mengalah kunci kejayaan Foxes

Enggan mengalah kunci kejayaan Foxes

LONDON, 3 Mei (AFP) – Pemain sayap Leicester, Marc Albrighton membuka rahsia kejayaan mereka untuk muncul selaku juara Liga Perdana Inggeris selepas penghuni tangga kedua liga, Tottenham terikat 2-2 dengan Chelsea, pagi tadi.

Albrighton berkata, kejayaan pasukan mengecap gelaran sulung liga utama Inggeris itu adalah kerana mereka sentiasa menerap pemikiran tidak mahukan kekalahan.

“Kami mempunyai sikap tidak pernah mengaku kalah. Saya fikir sikap itu menyebabkan kami meraih banyak mata musim ini,” kata Albrighton.

“Pada awal musim, kamu terikat seri dengan Stoke dan Southampton, kami ketinggalan 2-0 dengan kedua-dua pasukan ini dan keputusan sama juga diraih di halaman sendiri ketika bertemu Villa.

“Jadi ia menunjukkan karakter kami di awal musim. Kami ketinggalan di Old Trafford, lokasi yang agak mendebarkan kami.

“Ia padang yang besar dan penyokong sentiasa berada di belakang mereka tetapi pujian kepada pemain, kami terus berusaha, mendapatkan gol penyamaan dan terus memberi tentangan.”

Albrighton berkata, pemain meninggalkan Old Trafford Ahad lalu dengan kekecewaan kerana gagal meraikan gelaran lebih awal di hadapan 3,000 penyokong mereka yang bertandang di halaman lawan.

“Kami mahukan kemenangan dan menjamin kejuaraan tetapi ia tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, pengurus Leicester City, Claudio Ranieri memuji kesungguhan dan semangat dipamerkan pemainnya selepas gelaran Liga Perdana sah menjadi milik mereka.

“Saya amat berbangga,” kata Ranieri. “Saya gembira untuk pemain saya, pengerusi kelab, staf di Leicester City, penyokong dan juga komuniti Leicester.”

Pasukan tidak ternama sebelum ini dan hampir tersingkir musim lalu, disahkan juara buat kali pertamanya dalam sejarah 132 tahun penubuhan kelab selepas penghuni tangga kedua, Tottenham Hotspur sekadar seri 2-2 dengan Chelsea ,pagi tadi.

Selain itu, kejuaraan berkenaan juga membawa makna tersendiri buat Ranieri, 64, yang sebelum ini tidak pernah mengecap kejuaraan di saingan liga utama.

“Saya tidak pernah menjangkakan ketika mula berada di sini,” kata pengendali dari Itali itu. “Saya seorang yang pragmatik. Saya hanya mahu memenangi perlawanan demi perlawanan dan membantu pemain saya meningkat setiap minggu.

ARTIKEL YANG SAMA