England akhiri impian Kanada

England akhiri impian Kanada

VANCOUVER, 28 Jun (AFP) – England mengakhiri impian tuan rumah Kanada pada Piala Dunia Wanita dengan kemenangan 2-1 semalam untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama di mana mereka akan menentang juara bertahan Jepun yang menewaskan Australia 1-0.

Satu serangan kilat gol awal dari Jodie Taylor dan Lucy Bronze menjejaskan sorakan 54,027 penonton di Stadium BC Place dan mengekalkan England di landasan selepas tewas aksi pembukaan kepada Perancis.

“Impian berakhir. Ia bukan berakhir seperti yang kami bayangkan. Kami tidak pernah menulis skrip untuk ketinggalan 2-0 begitu awal. Malang untuk Kanada,” kata jurulatih Kanada John Herdman.

“Benteng mereka (England) sukar untuk dipecahkan. Mereka benar-benar berjuang dan taktik mereka mengena untuk memenangi perlawanan.”

Lawan ‘The Three Lionesses’ adalah Jepun yang mendominasi Australia tetapi memerlukan gol pada minit ke-87 daripada pemain gantian Mana Iwabuchi untuk meninggalkan perlawanan suku akhir di Edmonton.

Jodie Taylor (19) meraikan jaringan ketika menentang Kanada bersama rakannya Jill Scott (8) dalam aksi Piala Dunia Wanita di Vancouver semalam. – AFP
Jodie Taylor (19) meraikan jaringan ketika menentang Kanada bersama rakannya Jill Scott (8) dalam aksi Piala Dunia Wanita di Vancouver semalam. – AFP

Bekas pemenang dua kali Jerman dan Amerika Syarikat akan berentap untuk separuh akhir kedua di Ottawa Selasa ini dengan pertemuan England dan Jepun pula akan berlangsung di Edmonton pada Rabu.

England beraksi cemerlang selepas 11 minit berikutan kesilapan besar pemain pertahanan Lauren Sesselmann yang terbukti menjadi benteng rapuh dalam barisan pertahanan Kanada.

Sesselmann berusia 31 tahun yang cuba merembat bola, terlepas dan jatuh membolehkan Taylor menyambar bola dan berlari ke arah gawang mengatasi pertahanan Kanada untuk menyudahkan peluang.

Tiga minit kemudian tuan rumah kucar-kacir ketika Bronze menanduk gol untuk jaringan kedua, dengan pemain Kanada tersentak dan cuba untuk mengumpul kekuatan.

Tetapi kapten Christine Sinclair merapatkan jurang tiga minit sebelum rehat selepas kesilapan Karen Bardsley di depan pintu gol England.