England baham Wales

England baham Wales

Oleh Adiman HT

LENS, Perancis, 16 Jun – Jaringan di saat-saat akhir Daniel Sturridge memusnahkan harapan Wales untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1 bagi Kumpulan B yang diadakan di stadium Stade Bollaert-Delelis, sebentar tadi, di sini.

Wales membuka jaringan pada separuh masa pertama melalui tendangan percuma jarak jauh Gareth Bale di minit ke-42 separuh masa pertama, dalam apa yang dikatakan antara gol tercantik di saingan Euro 2016, kali ini.

Keadaan mula berubah apabila England membawa masuk Jamie Vardy dan Daniel Sturridge bagi menggantikan Harry Kane dan Raheem Sterling, di mana langkah ini nampaknya membuahkan hasil buat England apabila berjaya membuka jaringan di minit ke-56 melalui rembatan Jamie Vardy dari depan gawang Wales yang membawa keputusan 1-1.

Kapten pasukan England, Wayne Rooney juga sedikit sebanyak membantu dalam mengatur serangan England di bahagian tengah dalam perlawanan tersebut di mana beberapa kali telah melakukan serangan berbahaya kepada pihak Wales.

Pasukan England meraikan gol kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AFP
Pasukan England meraikan gol kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Asakan demi asakan England ke arah pertahanan Wales yang dilakukan hampir pada keseluruhan separuh masa kedua, akhirnya membuahkan hasil apabila Daniel Sturridge berjaya menemui belakang gawang pada minit ke-92 perlawanan sekali gus memberikan kemenangan buat England, keputusan 2-1 tersebut kekal hingga ke wisel penamat.

Dengan keputusan tersebut Wales kini menduduki tangga ketiga Kumpulan B dengan mengutip tiga mata daripada dua perlawanan, sementara England naik ke tangga teratas dengan mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.

Wales kini perlu menang pada perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Rusia untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya, manakala England perlu sekurang-kurangnya seri apabila menerima kunjungan Slovakia pada 21 Jun ini.