England ingin kekalkan prestasi

England ingin kekalkan prestasi

LONDON, 28 Mac (AFP) – Masih segar dengan kemenangan 3-2 yang mendebarkan ke atas juara dunia, Jerman pada perlawanan persahabatan awal pagi semalam, England dilihat mahu mengekalkan kecemerlangan itu apabila berdepan Belanda awal pagi Rabu ini.

Malah, ia sebagai persediaan terbaik mereka yang bakal menghadapi Kejohanan Eropah.

Jaringan dari Harry Kane, Jamie Vardy dan Eric Dier menyaksikan pasukan England yang diilhamkan Dele Alli bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Jerman.

Ketika pengurus Roy Hodgson pantas meremehkan kepentingan keputusan itu, tetapi ia tetap tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemain mudanya. Perlawanan awal pagi Rabu menjadi peluang terakhir Hodgson melakukan eksperimen sebelum mengumumkan skuadnya untuk ke Euro 2016 pada 12 Mei depan dengan Daniel Sturridge, Danny Welbeck dan Theo Walcott juga menjadi antara calon di bahagian serangan.

Tidak lupa juga dengan dua bintang yang kini bergelut dengan masalah kecederaan, Wayne Rooney dan Raheem Sterling, sekali gus menyaksikan Hodgson mempunyai banyak pilihan.

“Saya pasti dia (Hodgson) mahukannya,” kata penyerang Tottenham Hotspur, Kane yang sudah meledak empat gol dalam sembilan penampilannya di peringkat antarabangsa. “Dia mahu semua pemain berada pada prestasi terbaik dan menuntut mereka beraksi dengan baik. Anda mahu pemain terbaik untuk membentuk persembahan hebat di Euro.

“Saya pasti ia satu masalah yang dia nikmati ketika ini. Apa yang boleh kami lakukan adalah dengan mengekalkan apa yang kami mahu, kekal bermain, kerana kami mempunyai kepercayaan yang hebat.

“Wayne dan Raheem adalah pemain yang hebat dan saya yakin mereka akan kembali dalam skuad. Semua orang bersaing untuk merebut tempat dan ia adalah apa yang negara ini perlukan. Ia hanya akan menjadikan kami pemain yang lebih baik.”