England kempunan menang

England kempunan menang

LONDON, 16 Nov – Penyerang Real Madrid, Isco meledak gol pada waktu-waktu kecederaan bagi membantu Sepanyol seri 2-2 menentang England sekali gus menghalang Gareth Southgate mencatat kemenangan pada penampilan terakhirnya selaku pengurus sementara skuad Three Lions.

Gol daripada penalti Adam Lallana pada sewal minit ke-9 dan Jamie Vardy pada minit ke-48 meletakkan tuan rumah di laluan baik untuk meraih kemenangan pada perlawanan persahabatan antarabangsa itu.

Namun tidak disangka-sangka Sepanyol bangkit untuk menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-89 menerusi pemain yang baru disenaraikan, Iago Aspas diikuti gol Isco pada minit terakhir permainan.

Southgate yang kehilangan Lallana akibat kecederaan pada babak pertama jelas kecewa dengan keputusan itu namun selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kalah sejak menggantikan Sam Allardyce, dia masih calon pilihan untuk mengambil alih jawatan itu secara sepenuh masa.

“Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dalam keempat-empat perlawanan,” kata Southgate. “Bagi pemain, ia seperti kekalahan, namun saya tetap amat bangga dengan apa yang mereka lakukan. Ia sihat, prestasi yang positif.”

Isco menjaringkan gol pada minit-minit kecederaan sekali gus menghampakan pasukan England untuk memenangi perlawanan. – AP

Ketika kemenangan England direntap di saat akhir, prestasi yang ditampilkan di Wembley tampa seperti mampu membantu peminat untuk melupakan memori duka di Euro 2016. Gol Isco pada minit ke-98 melanjutkan rekod tanpa kalah Julen Lopetegui kepada enam perlawanan sejak menggantikan Vicente del Bosque selaku jurulatih Sepanyol sejurus penyingkiran di Euro 2016 kepada Itali.

“Pada babak pertama, England lebih bagus berbanding kami. Mereka bermula dengan amat tajam,” kata Lopetegui. “Keadaan menjadi lebih sukar pada babak kedua, namun ketika itu juga kami menampilkan karektor kami dan semangat tanpa kenal erti kalah.

“Untuk merampas keputusan seri dengan cara seperti ini iaitu dua gol di penghujung perlawanan adalah hebat. Ia menunjukkan yang kami tidak pernah berputus asa.”

England membuka tirai jaringan menerusi penalti yang disempurnakan Lallana selepas Vardy dijatuhkan oleh pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta.

Gol kedua diperoleh pada minit ke-48 selepas Jesse Lingard memperdaya Thiago Alcantara diikuti umpanan Lallana yang pantas disempurnakan Vardy untuk mengecewakan Pepe Reina. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA