England perlu kerja lebih ‘keras’ temu Jepun

England perlu kerja lebih ‘keras’ temu Jepun

EDMONTON, Kanada, 1 Julai (Reuters) – Jurulatih England, Mark Sampson berkata, pasukannya perlu mempamerkan permainan lebih ‘keras’ untuk menewaskan juara bertahan, Jepun dalam separuh akhir Piala Dunia Wanita, esok.

Jepun yang menyingkirkan Australia di suku akhir nyata memiliki kawalan bola lebih baik, namun Sampson berkata, skuadnya akan menggunakan kelebihan fizikal yang ada pada pemain-pemainnya.

“Memang satu perlawanan yang sukar, namun kami sedang berada di tahap terbaik dan tiada sebarang petanda skuad kami telah melepasi kemuncak prestasi pada saat ini.

“Kami beraksi cemerlang ketika bertemu Norway dan semua perlawanan peringkat kumpulan. Kami berada di tahap terbaik dan apabila bertemu Kanada, kami sedaya upaya cuba mempertahankan kelebihan jaringan,” katanya.

Tatkala England terpaksa bertahan sepanjang separuh masa kedua ketika berdepan Kanada dan mendapat permulaan yang kurang meyakinkan semasa dengan Norway, Sampson tahu pasukannya perlu berada di tahap terbaik bertemu juara dunia.

Mark Sampson dalam satu sidang media di Edmonton semalam. – Reuters
Mark Sampson dalam satu sidang media di Edmonton semalam. – Reuters

“Menentang sebuah pasukan terbaik dunia, kami tiada pilihan lain kecuali memberikan segalanya.

“Semua pemain perlu memberikan tumpuan agar emosi mereka berada pada tahap sempurna untuk menampilkan persembahan terbaik dan mengikut segala perancangan pasukan,” katanya.

Kejayaan ke atas Kanada di hadapan penyokong setia mereka memberi keyakinan yang tinggi dan apa yang penting, ia membentuk karakter pasukan England.

“Mereka (Kanada) mempunyai karakter mempesonakan dan semangat yang kental. Kejayaan menewaskan tuan rumah memberi keyakinan kepada kami untuk berdepan sesiapa saja.

“Dalam empat perlawanan, kami menjaringkan dua gol dalam tiap aksi dan kami mahu meneruskan rekod cemerlang itu,” katanya.

Jepun mengalahkan Australia 1-0 dalam perlawanan suku akhir untuk menerusi misi mempertahankan kejuaraan.

ARTIKEL YANG SAMA