England pilihan Ramos musim depan

England pilihan Ramos musim depan

MADRID, 25 Jun (AFP) – Pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos sudah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan kelab itu selepas berselisih faham dengan presidennya, Florentino Perez, lapor media tempatan, hari ini.

Media tempatan Sepanyol melaporkan Ramos sudah bertemu dengan pegawai-pegawai tertinggi kelab gergasi Sepanyol itu, semalam untuk bertanyakan sama ada mereka menerima tawaran daripada kelab lain.

Real ketika ini masih belum memperbaharui kontrak Ramos yang dijangka tamat pada 2017. Kelab gergasi Inggeris, Manchester United dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Sepanyol.

Digelar wira di Real, pemain berusia 29 tahun itu meledak gol kemenangan Galaticos yang menjuarai gelaran ke-10 Liga Juara-Juara Eropah, musim lepas.

Begitupun, hubungan dengan Perez dikatakan cukup keruh kerana Ramos secara terang-terangan mempertahankan bekas pengendali kelab itu, Carlo Ancelotti yang dipecat, bulan lalu.

Sergio Ramos yang juga duta UNICEF (tengah) bermain bersama kanak-kanak Cuba di Havana 16 Jun lalu. – Reuters
Sergio Ramos yang juga duta UNICEF (tengah) bermain bersama kanak-kanak Cuba di Havana 16 Jun lalu. – Reuters

Semalam, Ramos dilihat memandu keretanya ke pusat latihan Real di Valde-bebas untuk perbincangan. Akhbar sukan ternama, Marca berkata perjumpaan itu ‘melegakan ketegangan’ namun tiada sebarang persetujuan dapat dicapai.

Ramos kini mengambil kursus Bahasa Inggeris sebagai persiapan untuk berhijrah ke England musim depan, di mana dia dikatakan bakal menyertai Manchester United menerusi yuran perpindahan bernilai 21.4 juta pound.

Beberapa media di Sepanyol dan England melaporkan Manchester United sudah pun membuat tawaran untuk mendapatkan Ramos namun tiada sebarang pengumuman dibuat bagi pihak pemain dan kelab.

Real dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol United, David de Gea yang meningkatkan spekulasi penghijrahan Ramos ke England.

ARTIKEL YANG SAMA