England terdesak

England terdesak

LONDON, 6 Jan (AFP) – Pengerusi Persatuan Bola Sepak England, Greg Dyke mengisytiharkan “Kita semua akan menembak diri sendiri” jika pasukan Roy Hodgson tersungkur pada peringkat kumpulan Euro 2016.

England yang bakal bertemu Wales, Rusia dan Slovakia dalam kejohanan yang berlangsung di Perancis dari 10 Jun itu nanti, masih lagi dihantui memori Piala Dunia 2014 di mana mereka tersingkir pada peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1958.

Dyke menyokong Hodgson selepas kejatuhan di Brazil, tetapi berkata jika keadaan berulang lagi tahun ini bermakna mereka yang berada di atas perlu berundur.

“Saya rasa kami semua akan menembak diri sendiri jika tidak melepasi peringkat kumpulan,” kata Dyke. “Kami perlu melepasi peringkat kumpulan. Jika tidak, ia benar-benar berita buruk bagi bola sepak Inggeris.”

Bekas Ketua Pengarah BBC berusia 68 tahun itu berkata demikian pada malam Selasa di London sempena majlis pelancaran ulang tahun ke-50 kejayaan Piala Dunia 1966 England.

Greg Dyke dalam gambar fail 8 Mei 2014 ketika mengadakan sidang media di Stadium Wembley. – AFP
Greg Dyke dalam gambar fail 8 Mei 2014 ketika mengadakan sidang media di Stadium Wembley. – AFP

“FA adalah FA yang terkaya di dunia dengan pendapatan paling banyak. FA perlu bertanggungjawab,” kata Dyke. “Kita sepatutnya memenangi kejohanan dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Malangnya belum lagi. Tetapi kita akan menang dalam 50 tahun akan datang, mudah-mudahan dalam masa terdekat.”

England gagal untuk memenangi perlawanan di Brazil tetapi mereka bangkit untuk mencatatkan kemenangan dalam semua 10 perlawanan kelayakan Euro 2016.

Dyke juga mengumumkan beliau akan membuat keputusan dalam beberapa hari akan datang sama ada untuk bertanding semula sebagai pengerusi FA pada musim panas ini.

Tempoh penggal tiga tahun beliau berakhir pada Julai, tetapi dia akan dibenarkan untuk berkhidmat untuk setahun lagi dalam penggal baru sebelum melebihi had umur 70 tahun.

“Kami akan menyelesaikannya dalam masa beberapa hari lagi sama ada saya akan bertanding untuk setahun lagi,” kata Dyke.

Dyke disertai oleh oleh wira Piala Dunia Geoff Hurst, Gordon Banks, Martin Peters dan George Cohen pada majlis di Kensington Royal Garden Hotel yang menjadi venue untuk undian pusingan akhir Piala Dunia 1966 dijalankan 50 tahun yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA