England tewaskan Turki 2-1

England tewaskan Turki 2-1

MANCHESTER, 23 Mei (AFP) – Harry Kane dan Jamie Vardy memindahkan jaringan mereka dalam aksi Liga Perdana ke peringkat antarabangsa, apabila masing-masing menjaringkan gol buat England untuk menewaskan Turki 2-1 dalam perlawanan pemanasan menjelang Euro 2016 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad Manchester, awal pagi tadi.

Kane membuka jaringan pada minit ketiga tetapi gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-72 yang diperoleh Vardy, selepas Hakan Calhanoglu menyamakan kedudukan menerusi jaringan pertama Turki berdepan England dalam 11 pertemuan.

Vardy menyelamatkan ke adaan pada minit ke-83, dengan peledak Leicester City itu menjaringkan gol ketiganya bersama England dalam tiga perlawanan untuk seterusnya menamatkan rentetan 13 perlawanan tanpa kalah Turki dan menambah peluangnya selaku penjaring utama dalam kesebelasan pengurus Roy Hodgson di Perancis.

“Kemenangan sentiasa menggembirakan dan ada aspek positif di situ,” kata Hodgson, dengan skuadnya akan berdepan Russia, Slovakia dan jiran Wales pada saingan peringkat kumpulan Euro.

Jamie Vardy ketika menjaringkan gol buat England melepasi penjaga gawang Turki. – AP
Jamie Vardy ketika menjaringkan gol buat England melepasi penjaga gawang Turki. – AP

“Sebahagian besar perlawanan kami bermain agak bagus, dan ia juga positif kerana kami masih belum siap sepenuhnya dan masih ada kerja perlu dilakukan.

“Ia akan menunjukkan betapa tempoh tiga minggu akan datang akan menjadi sesuatu yang amat penting buat kami.”

Sturridge dan Rooney tidak berupaya beraksi bagi perlawanan tersebut disebabkan komitmen terhadap kelab masing-masing minggu lepas, namun besar kemungkinan akan beraksi menentang Australia pada Jumaat ini, apabila Vardy pula tidak akan beraksi kerana akan berkahwin Rabu ini.

ARTIKEL YANG SAMA