England tiada dalam senarai Coleman

England tiada dalam senarai Coleman

DINARD, Perancis, 5 Julai – Chris Coleman tidak sesekali akan membimbing England sekiranya dia tidak lagi bersama Wales yang kini berada dalam kelompok empat terakhir Euro 2016.

Selepas berjaya membawa Wales ke separuh akhir pertama di kejohanan besar, reputasi Coleman semakin menyinar dan mula dikaitkan dengan jawatan ditinggalkan Roy Hodgson di England.

“Saya warga Wales dan akan sentiasa bersama Wales. Untuk bola sepak antarabangsa, hanya ada Wales bagi saya. Tugasan selepas Wales, tidak kira bila, pasti di suatu tempat yang jauh dari sini.

“Untuk menguruskan negara lain? Tidak sama sekali, itu bukan antara perkara yang akan saya pertimbangkan. “Saya menghormati Roy Hodgson. Saya rasa dia pengurus yang baik.

“Dia kehilangan jawatannya dan England akan mencari pengganti. Namun ia perkara yang tidak sesekali akan terlintas di fikiran saya.”

Coleman tidak akan membimbing England walaupun tidak lagi Wales selepas Euro 2016. - AFP
Coleman tidak akan membimbing England walaupun tidak lagi Wales selepas Euro 2016. – AFP

Ketika kejayaan Wales di Perancis tahun ini sering dibandingkan dengan kegagalan England mara ke suku akhir, Coleman berpendapat ia berpunca daripada tekanan yang dihadapi pasukan pilihan.

“Pasukan-pasukan besar perlu masuk ke suku akhir, separuh akhir dan final. Kami tidak perlu,” kata Coleman yang akan bertemu Portugal awal pagi Khamis ini.

“Kami hanya datang dan bermain untuk kami sendiri, untuk mereka yang berada di dalam kem. Saya rasa kami mempunyai peluang ke suku akhir, tetapi saya tidak pernah katakan kepada pemain, ‘Ini apa yang kita mampu buat’.

“Kami tidak pernah mengatakan yang kami perlu menang perlawanan untuk sampai ke satu-satu peringkat. Bagi kami, cabaran semakin besar dari perlawanan ke perlawanan dan kami hadapinya satu persatu.” – AFP