England tunduk kepada Belanda

England tunduk kepada Belanda

LONDON, 30 Mac (Reuters) – England yang mengejutkan Jerman minggu lalu, rebah kepada skuad kurang berpengalaman, Belanda 2-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Jaringan pada separuh masa kedua menerusi Vincent Janssen dan pemain gantian, Luciano Narsingh memusnahkan gol Jamie Vardy pada separuh masa pertama, sekali gus merobek rentak pengurus, Roy Hodgson menjelang kejohanan Euro, Jun ini.

Di atas kertas sepatutnya ia kemenangan rutin kepada England, dengan diterajui rangkaian penyerang utama Liga Perdana, Vardy dan Harry Kane, namun tewas di Wembley dalam tempoh dua setengah tahun.

Namun sejarah bukan kepada pasukan England. Selepas kemenangan terakhir pada 1996, England selepas itu tidak pernah berjaya ke atas Belanda dalam tempoh lebih 30 tahun.

Tidak seperti menentang Jerman minggu lalu dengan kemenangan 3-2, jentera serangan England kali ini tidak menunjukkan semangat tinggi untuk membalas dua gol lawan.

Janssen ketika menjaringkan gol pertama buat Belanda pada perlawanan menentang England di Stadium Wembley. – Reuters
Janssen ketika menjaringkan gol pertama buat Belanda pada perlawanan menentang England di Stadium Wembley. – Reuters

Ia seakan berpuas hati menerusi jaringan Vardy yang menolak mudah bola ke jaring Belanda selepas mendapat hantaran Kyle Walker di sebelah kanan pada minit ke-41.

Ketika England mendominasi penguasaan bola, Belanda bangkit pada masa kedua menggandakan serangan dan memperoleh gol penyamaan menerusi penalti Janssen pada minit ke-50.

Ia juga gol sulungnya untuk Belanda.

Narsingh yang mendapat hantaran Janssen pada minit ke-77 kemudian meledak gol kemenangan Belanda.

Dalam perkembangan lain, penjaga gol England Jack Butland hampir pasti terlepas aksi Euro 2016 di Perancis selepas mengalami keretakan buku lali ketika mencatat kemenangan 3-2 ke atas Jerman dalam aksi persahabatan, Ahad lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu akan terlepas semua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berita ini satu tamparan besar buat Stoke City yang kini menghuni tangga kelapan liga dengan mereka sedang memburu slot ke Liga Europa.

“Saya akan menjalani pembedahan malam ini… Ia bukan cabaran yang saya harapkan pada musim panas ini tetapi saya akan cuba menghadapinya dengan mentaliti yang betul dan belajar daripadanya.”