England, Wales antara pilihan utama

England, Wales antara pilihan utama

SAINT PETERSBURG, 24 Julai – England dan Wales adalah antara sembilan negara Eropah yang diletakkan sebagai pasukan pilihan utama pada undian kelayakan Piala Dunia di sini, esok.

Kedudukan sebagai pasukan pilihan utama itu dibuat berdasarkan ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula dari Jun lalu, sekali gus meletakkan bekas pemenang Piala Dunia, Itali dan Perancis sebagai pilihan kedua.

Juara dunia, Jerman bersama Belgium, Belanda, Romania, Portugal, Sepanyol dan Croatia adalah tujuh lagi pasukan yang diletak sebagai pilihan utama.

Selain Russia selaku tuan rumah, sebanyak 13 negara Eropah akan turut layak ke saingan Piala Dunia 2018 itu.

Sembilan daripada pasukan yang layak itu adalah juara peringkat kumpulan yang bakal ditentukan menerusi undian esok.

Empat lagi yang layak adalah daripada pemenang aksi timbal balik membabitkan lapan pasukan terbaik di tempat kedua pada saingan peringkat kumpulan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA