Eni-Total gagal temui gas boleh dieksploitasi luar Cyprus

NICOSIA, 12 Sept – Cyprus berkata hari ini, penggerudian minyak oleh Eni-Total syarikat usaha sama Itali-Perancis di perairan luar pulau Mediterranean berdepan kegagalan untuk mendapatkan gas cecair asli yang mencukupi untuk diterokai.

Penemuan medan gas di luar pantai tenggara Cyprus pada 2011 menimbulkan harapan negara itu untuk menjadi negara tenaga serantau namun ia perlu mencari lebih banyak rizab untuk merancang terminal laut yang berdaya maju dari segi kewangan.

Menteri Tenaga, George Lakkotrypis berkata data dari penggerudian usaha sama Eni-Total di blok berlainan telah mengesahkan kewujudan simpanan gas cecair asli dalam kawasan zon ekonomi eksklusif negara itu.

Namun “anggaran awal menunjukkan jumlah gas yang ditemui tidak dapat menjadikan deposit itu satu projek berdiri sendiri,” tambahnya.

Firma AS, Noble Energy membuat penemuan pertama di luar pantai tenggara pada 2011 di medan Aphrodite, yang dianggarkan mengandungi gas kira-kira 127.4 bilion meter padu (4.54 trilion kaki padu).

Firma Israel Delek dan Avner, serta Royal Dutch Shell, semuanya mempunyai saham dalam blok tersebut, yang telah diumumkan berdaya maju dari segi kewangan.

Namun syarikat usaha sama Itali-Korea Selatan, ENI-Kogas sejauh ini juga telah gagal untuk menemui sebarang simpanan gas yang boleh dieksploitasi di laut dalam luar pulau tersebut.

Cyprus merancang untuk membina kilang gas cecair asli yang membolehkan pengeksportan menggunakan kapal ke Asia dan Eropah, namun simpanan itu mengesahkan sejauh ini tidak mencukupi untuk dilaksanakan. – AFP