Enjin mungkin alami kerosakan

Enjin mungkin alami kerosakan

MEDAN, Indonesia, 2 Julai (AFP) – Kapal terbang tentera Indonesia yang terhempas ke kawasan perumahan dan mengorbankan 142 orang mungkin mengalami kerosakan enjin, pasukan tentera utara berkata hari ini, tetapi menafikan pesawat udara itu membawa lebih muatan selepas dakwaan orang awam telah membayar untuk menaiki pesawat itu.

Pesawat pengangkut Hercules C-130 terhempas pada Selasa di bandar Medan sejurus selepas berlepas dari pangkalan udara berhampiran, meletup lalu terbakar dan mengakibatkan kemusnahan meluas.

Timbalan Marsyal Udara Agus Dwi Putranto, pemerintah operasi pasukan tentera udara memberitahu para pemberita tentang penemuan awal yang menunjukkan pesawat udara berusia 51 tahun itu gagal mencapai kelajuan mencukupi selepas salah satu dari empat enjinnya mengalami kerosakan.

“Ada kemungkinan kipas tidak berfungsi. Bergerak pada kelajuan perlahan, pesawat itu tiba-tiba membelok ke kanan dan melanggar menara antena,” katanya.

Menurutnya juruterbang telah meminta untuk berpatah balik ke pangkalan sejurus selepas berlepas, dengan menambah kata ‘Itu bermakna ada masalah timbul”.

Saksi-saksi berkata pesawat itu senget dan mengeluarkan asap hitam sejurus sebelum ia terhempas ke arah pusat urut dan hotel di kawasan perumahan yang baru dibina.

Bagaimanapun Putranto menafikan pesawat udara membawa lebih muatan selepas pasukan tentera udara berulang kali menyemak semula bilangan orang di dalam penerbangan, yang mencetuskan tuduhan orang awam yang membayar berada di dalam pesawat, yang menyalahi peraturan tentera.

“Tidak mungkin masalah terlebih muatan,” ujar pemerintah itu.

Menurutnya lagi, Hercules boleh membawa 12.5 tan tetapi penumpang-penumpang dalam penerbangan itu hanya seberat kira-kira lapan tan.

Terdapat 122 orang di dalam pesawat, kebanyakannya anggota tentera dan wanita dan keluarga mereka, dengan kematian yang lain dikatakan berlaku di darat.

ARTIKEL YANG SAMA