Enjin V8 lebih sesuai berbanding V6 dalam F1

Enjin V8 lebih sesuai berbanding V6 dalam F1

LONDON, 14 Dis (Agensi) – Pelumba pasukan Red Bull Racing, Daniel Ricciardo mengakui bahawa dia kecewa dengan beberapa peraturan perlumbaan Formula Satu (F1) kebelakangan ini.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, F1 seharusnya kembali menggunakan enjin V8 yang pernah digunakan sebelum ini berbanding penggunaan enjin V6 yang menggunakan teknologi hibrid ketika ini. Ricciardo memberitahu, enjin V6 terlalu senyap dan gagal membangkitkan adrenalin dan mewujudkan suasana perlumbaan berbanding enjin V8 yang mengeluarkan bunyi lebih kuat serta mampu menarik kekaguman para peminat. “Saya fikir ia (penggunaan enjin V8) merupakan suatu perkara yang sangat dinantikan. Apabila anda ke litar untuk menyaksikan perlumbaan secara langsung, faktor bunyi pastinya menjadi salah satu elemen yang anda mahu rasainya dan saya fikir F1 ketika ini ada kekurangan daripada segi itu.

“Penonton mahu sesuatu ketika mereka hadir menyaksikan perlumbaan dan buat masa ini kita kehilangan ‘kehangatan’ itu dan kami mahukannya kembali.

“Saya berharap enjin V8 akan kembali mewarnai pentas F1 suatu hari nanti,” katanya. F1 telah memperkenalkan enjin V6 yang menggunakan teknologi turbo pada 2014 dan perubahan tersebut nyata tidak menyenangkan ramai pihak. Ia dikritik kerana menjadikan jentera yang bertanding lebih perlahan dan perlumbaan juga dilihat lebih kepada keupayaan enjin dan jentera untuk bertahan berbanding kepantasan.