Enrique dedah formula kejayaan

Enrique dedah formula kejayaan

BARCELONA, 26 Nov (Reuters) – Asakan yang dilakukan Barcelona ke atas lawannya adalah salah satu kunci kejayaan mereka, kata jurulatihnya Luis Enrique selepas mereka menang 6-1 ke atas AS Roma dalam kempen Kumpulan E, Liga Juara-juara semalam.

Juara treble musim lalu itu beraksi cemerlang dengan kehadiran penyerang utama mereka Lionel Messi yang baharu pulih daripada kecederaan.

“Kami menghadapi setiap perlawanan dengan kesedaran bahawa kami mesti mengasak pihak lawan kerana lebih kuat anda mengasak lebih baik keputusan diperoleh.

“Kami mendapati amat mudah untuk mendapatkan ruang dan kami berupaya menguasai perlawanan. Tidak mudah untuk terus mengasak namun itulah kekuatan kami sebagai satu pasukan dan hal itu menjadi faktor penting.

“Messi telah kembali ke dalam pasukan, saya mendapati Luis Suarez memberikan tekanan selepas 92 minit, begitu juga Neymar dan semuanya bermain seperti sebelum ini. Kesemua pemain menyerang dan bertahan sebagai satu barisan,” kata Enrique.

Enrique mengarahkan anak buahnya semasa menentang AS Roma dalam aksi Kumpulan E, kelmarin. – Reuters
Enrique mengarahkan anak buahnya semasa menentang AS Roma dalam aksi Kumpulan E, kelmarin. – Reuters

Gol pertama Barcelona dijaringkan oleh Suarez pada minit ke-15 hasil rembatan kaki kiri sebelum Messi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-18 selepas memanfaatkan hantaran Suarez.

Seminit sebelum babak pertama berakhir menyaksikan Suarez menambah jaringan ketiga Barcelona sekali gus memberikan tekanan besar kepada Roma.

Kedua-dua pasukan terus mencari peluang mendapatkan jaringan pada awal babak kedua namun tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan malah tidak menghadapi masalah untuk menjadikan kedudukan 4-0 hasil jaringan Gerard Pique pada minit ke-56 sebelum Messi menambah derita pasukan pelawat untuk gol kelima Barcelona tiga minit kemudian.

Tidak cukup dengan kedudukan 5-0, Barcelona terus melancarkan serangan tanpa henti dan hasilnya Adriano meraih gol keenam pada minit ke-77 manakala Roma hanya mampu mendapatkan jaringan tunggal pada masa kecederaan menerusi Edin Dzeko.

Aksi menarik dipamerkan oleh Suarez pada perlawanan tersebut turut mendapat pujian Enrique yang berbangga dengan komitmen pemain itu.

“Dia seperti azimat kepada pasukan kerana membawa aura postif dan mempunyai kemahiran individu amat tinggi,” kata Enrique.

ARTIKEL YANG SAMA