Enrique idam dua lagi trofi

Enrique idam dua lagi trofi

MADRID, 19 Mei – Jurulatih Barcelona Luis Enrique percaya kejayaan merangkul gelaran La Liga buat kali ke-23 titik tolak kepada pencapaian lebih bermakna termasuk kemungkinan melakar tiga kejuaraan utama musim ini.

Lionel Messi menjaringkan gol kemenangan bagi membolehkan Catalan merangkul gelaran kelima dalam tempoh tujuh tahun menerusi kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid, semalam.

Barca akan berdepan Athletic Bilbao di gelanggang sendiri untuk final Copa del Rey, 30 Mei ini sebelum berdepan Juventus pada final Liga Juara-Juara, seminggu kemudian.

Luis Enrique dilantik memegang jawatan di Camp Nou bersama tujuh pemain lain musim panas lalu selepas Barca gagal menamatkan musim dengan sebarang piala.

“Saya harap kejayaan ini menjadi era baru buat kami. Kami perlu pastikan berhak menang gelaran lain. Kami akan mengharungi dua lagi final dan perlu membuktikan kami lebih baik berbanding lawan,” katanya.

Luis Enrique sudah mula mengintai dua lagi gelaran bersama Barcelona musim ini. - AFP
Luis Enrique sudah mula mengintai dua lagi gelaran bersama Barcelona musim ini. – AFP

“Kami bermula 10 bulan lalu dengan pelbagai perubahan dan memulakan musim ini dengan tidak ada sebarang piala dalam genggaman.

“Kami sedar ia akan menjadi musim perubahan dan akan cuba yang terbaik. Kami masih ada dua gelaran untuk direbut tetapi sudah ada satu yang sangat diburu selama ini.”

Andai berjaya, tiga kejuaraan semusim itu menjadi yang kedua sepanjang sejarah 115 tahun penubuhan Barca.

Begitupun, sebahagian besar pemain yang ada pernah merasai manisnya apabila muncul juara tiga kejohanan utama pada musim 2008/09.

Salah seorang daripadanya ialah pemain tengah Sergio Busquets dan dia tegas mengatakan saingan 38 perlawanan La Liga dalam semusim sukar untuk diatasi.

“Tahun lalu kami tidak berada pada tahap yang membolehkan kami muncul juara. Kali ini kami berada di landasan tepat. Piala pertama sudah dalam tangan dan kami akan berusaha merangkul dua lagi.” – AFP