Enrique kekal musim depan

Enrique kekal musim depan

BARCELONA, 9 Jun (Reuters) – Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menegaskan Luis Enrique akan kekal musim depan walaupun jurulatih itu enggan memberikan komitmen selepas melengkapkan tiga trofi kejuaraan, kelmarin.

Kemenangan 3-1 Barca ke atas Juventus pada final Liga Juara-Juara bermakna mereka muncul pasukan pertama memenangi liga domestik dan Piala Raja Sepanyol serta pertandingan elit kelab Eropah pada musim sama sebanyak dua kali, mengulangi pencapaian pada 2009.

Enrique menghampiri penamat tahun pertama daripada kontrak dua tahun namun jelas kurang gembira dengan pemecatan pengarah sukan Andoni Zubizarreta, individu yang melantiknya, Januari lalu.

Beliau enggan menjawab persoalan mengenai masa depannya ketika sidang akhbar selepas kmenangan pada final Sabtu lalu apabila menegaskan beliau hanya mahu fokus untuk meraikan tiga kejuaraan itu.

Ketidaktentuan mengenai masa depannya lebih terserlah dengan pemilihan presiden akan diadakan tidak lama lagi dan pemimpin baru menggantikan Bartomeu mungkin mahu membawa orangnya sendiri.

Bartomeu memberitahu radio Sepanyol kelmarin, beliau akan menawarkan Enrique sambungan kontrak jika dipilih semula.

“Tidak perlu merana, Luis Enrique akan terus bertugas. Musim ini amat cemerlang buatnya jadi tiada alasan untuk menamatkan kontraknya,” jelas Bartomeu.

Barca meraikan musim gemilang mereka dengan pemain dan pegawai menaiki bas tanpa bumbung menjelajah sepanjang ibu negeri Catalunya itu semalam, menamatkan parti hebat itu bersama peminat di arena Nou Camp.

Mereka turut mengumumkan pembelian pemain tengah Sevilla, Aleix Vidal, bergantung kepada pemeriksaan perubatan, selepas pemain itu menyerlah bersama juara Liga Europa musim ini dan bulan lalu dipanggil kali pertama ke dalam skuad Sepanyol kendalian Vicente del Bosque.

ARTIKEL YANG SAMA