Enrique: Menguruskan Messi satu ‘keistimewaan’

Enrique: Menguruskan Messi satu ‘keistimewaan’

MADRID, 18 Feb (AFP) – Pengurus Barcelona Luis Enrique menyifatkan memiliki Lionel Messi bersama pasukan beliau sebagai ‘hak istimewa’ selepas Pemain Terbaik Dunia lima kali itu menjaringkan gol ke-300 La Liga.

Messi menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 di Sporting Gijon pada Rabu untuk menambah jaringannya kepada 301 gol dalam 335 perlawanan ketika Barca melebarkan kelebihan di puncak liga kepada enam mata.

Barca kini merupakan pasukan pilihan untuk menjulang gelaran La Liga kelima dalam tempoh tujuh tahun dengan Atletico Madrid pencabar terdekat dan Real Madrid ketinggalan lagi di tempat ketiga. “Saya yakin dalam apa jua keadaan, ini adalah satu yang baik,” kata Luis Enrique.

“Tetapi itu tidak bermakna apa-apa kerana kami semua tahu apabila perlawanan terakhir musim ini semakin dekat, terutama 10 terakhir, pasukan dalam masalah mula memenangi perlawanan dan sangat sukar untuk mengutip mata. Kami berada pada kedudukan yang kami mahukan dan kami bergantung kepada diri kami sendiri.”

Satu-satunya perkara negatif untuk juara Eropah itu ialah terlepas penalti oleh Luis Suarez. Messi telah mencetuskan sensasi di seluruh dunia dengan melepaskan sepakan ke laluan Suarez untuk melengkapkan hatrik dalam kemenangan 6-1 di Celta Vigo Ahad lalu.

Bagaimanapun, antara Messi, Suarez dan Neymar, Barca kini terlepas tujuh daripada 15 penalti langsung mereka musim ini.

Ia satu perkara yang amat bermakna memandangkan Suarez membuat perubahan dengan penyudah hebat untuk gol ke-40 musim ini 23 minit sebelum tamat.

“Kami mahu memperbaiki aspek itu, tetapi pemain yang membuat kesilapan adalah mereka yang mengambil tanggungjawab untuk memperbaikinya. Kami yakin dengan Leo, Luis dan Neymar. Mereka adalah pengambil penalti yang hebat.”