Enrique salahkan dirinya atas kekalahan Barca

Enrique salahkan dirinya atas kekalahan Barca

BARCELONA, 11 Sept – Pengendali Barca Luis Enrique mengaku dia perlu bertanggungjawab akan kekalahan juara Sepanyol itu di laman sendiri kepada pasukan Alaves yang baru dinaikkan selepas memulakan perlawanan tanpa memainkan Lionel Messi dan Luis Suarez. Enrique membuat tujuh pertukaran awal pagi tadi selepas kebanyakan pemain skuadnya pulang semula daripada kempen kelayakan Piala Dunia di seluruh dunia pada minggu kebelakangan, sementara Messi juga bergelut dengan kecederaan ringan di pangkal paha.

“Sayalah punca bagi segala keburukan yang berlaku,” ujar bos Barca itu selepas hanya tewas lima perlawanan di tempat sendiri dalam tiga musim mengendali di Camp Nou.

“Kebanyakan pertukaran itu berlaku disebabkan perihal yang terjadi pada sekeliling kita, namun kami mempunyai 22 pemain dan kami akan menggunakan semua orang musim ini.”

Di samping tidak memainkan Messi dan Suarez pada permulaan perlawanan, Enrique juga menukar kesemua pemain pertahanannya, sementara penjaga gawang Jasper Cillessen dan penyerang Paco Alacer membuat penampilan pertama mereka.

Tidak memainkan pemain utama antara punca kekalahan Barcelona kepada pasukan Alaves. – AP
Tidak memainkan pemain utama antara punca kekalahan Barcelona kepada pasukan Alaves. – AP

Deyverson menewaskan Cillessen dari jarak dekat untuk memberikan kejutan awal sebelum separuh masa, namun Jeremy Mathieu membawa semula Barca ke dalam perlawanan apabila dia menanduk masuk sepakan sudut Neymar seminit selepas separuh masa kedua. Mathieu kemudian mensia-siakan peluang apabila ledakannya melepasi gawang dalam apa yang dilihat satu peluang yang begitu mudah untuk menjaringkan gol.

Pertahanan Barca kemudian ditewaskan apabila Ibai Gomez menjaringkan gol kemenangan.

Enrique kemudian memainkan Messi, Suarez dan Andres Iniesta, namun usaha itu tidak mampu melepasi pertahanan Alaves apabila ledakan Messi tidak menepati sasaran.

“Kami kurang kestabilan, ketepatan dan begitu rapuh di pertahanan, yang merupakan salah satu pada kebiasaannya yang membuatkan kami kuat,” tambah Enrique. – AFP