Enrique: Xavi tiada pengganti

Enrique: Xavi tiada pengganti

BARCELONA, 26 Mei (Reuters) – Tidak akan ada pemain lain seperti Xavi dan Barcelona perlu menyesuaikan diri bermain tanpanya, kata jurulatih The Catalan, Luis Enrique mengenai pemain tengah Sepanyol itu yang bakal meninggalkan kelab tersebut.

Bintang Barcelona, Xavi Hernandez, 35, telah mengumumkan dia akan menyertai kelab Qatar, Al Sadd, setelah 17 musim dan meraih 23 trofi bersama skuad pertama Barca.

Ini juga membawa penamat kepada tempoh dua dekad dia bersama Barca, yang disertainya sejak berusia 11 tahun pada 1991. Selepas mereka seri 2-2 dengan Deportivo La Coruna semalam, kapten Barca itu menjulang trofi La Liga, yang telah sah menjadi milik mereka minggu lalu, buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun.

Dengan linangan air mata, Xavi mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong di Camp Nou dan membuatnya sebagai ‘orang paling gembira di dunia’.

Dia telah memenangi tiga mahkota kejuaraan Liga Juara-juara bersama gergasi Catalonia itu dan membantu Sepanyol merangkul trofi Kejohanan Eropah dua tahun berturut-turut pada 2008 dan 2012 serta memenangi Piala Dunia pada 2010.

Xavi Hernandez menjulang trofi La Liga selepas perlawanan menentang Deportivo La Coruna di Stadium Camp Nou, Barcelona Sabtu lalu. – AFP
Xavi Hernandez menjulang trofi La Liga selepas perlawanan menentang Deportivo La Coruna di Stadium Camp Nou, Barcelona Sabtu lalu. – AFP

Perlawanan semalam merupakan yang ke-765 untuknya bersama Barca dalam pertandingan rasmi, yang merupakan rekod kelab itu.

“Tidak ada pengganti Xavi, anda tidak boleh menggantikan pemain yang unik sepertinya,” kata Enrique.

Xavi masih boleh memenangi dua lagi trofi iaitu Liga Juara-juara dan Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) sebelum menyertai ke kelab baharunya.

Barcelona akan menentang Athletic Bilbao dalam perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol di Camp Nou Sabtu ini, dikuti menentang Juventus dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara di Berlin seminggu kemudian.