Ent X 2015 pamer idea inovatif pelajar

Ent X 2015 pamer idea inovatif pelajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Nov – Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Kampus Politeknik Brunei Lumut hari ini, telah menganjurkan Majlis Pameran Keusahawanan 2015 atau dikenali ‘Ent X 2015’, dalam usaha untuk memberikan peluang para pelajarnya mempamerkan idea-idea inovatif mereka dan meningkatkan kreativiti masing-masing.

Majlis yang diadakan di Dewan Serba guna Pusat Pengajian Sains dan Kejuruteraan Lumut itu telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Pemangku Ketua Sekolah Perdagangan, Haji Mohd Muliadi bin Haji Abd Hamid semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, pameran itu diadakan bukan sahaja untuk menilai usaha para pelajar Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei, tetapi juga diharapkan supaya akan dapat menjadi inspirasi dan iktibar kepada pelajar-pelajar dari institusi-institusi lain supaya sentiasa terus bertekad untuk mempertingkatkan kreativiti dan inisiatif masing-masing dalam apa juga bidang akademik atau teknikal pada masa hadapan.

“Pelajar-pelajar dari institusi lain juga diberi peluang untuk berkongsi sama pendapat-pendapat mereka bagi menganjakkan lagi paradigma atau pemikiran sesama pelajar ke arah memajukan kebolehan masing-masing bagi mencipta generasi yang berinovasi,” katanya lagi.

Haji Mohd Muliadi seterusnya menambah, kejayaan dan usaha yang dikecapi para pelajar melalui pameran hari ini, sangatlah membanggakan, ia merupakan hadiah kepada tenaga pengajar yang sudah bertungkus lumus dalam mendidik dan membentuk insan-insan yang berinovatif, dan berharap ia dapat dijadikan titik tolak ke arah kemajuan bidang kerja yang akan diceburi pelajar nanti, dan semoga inisiatif yang dipamerkan turut dapat mempertingkatkan usaha pelajar ke arah pencapaian yang lebih cemerlang di masa-masa akan datang.

Awang Denis Ho Mun Tai semasa meninjau pameran dan mendengar penerangan daripada seorang pelajar.
Awang Denis Ho Mun Tai semasa meninjau pameran dan mendengar penerangan daripada seorang pelajar.

pg10_151106_a

Dalam majlis itu, sebanyak 43 buah kumpulan dibahagikan dengan penglibatan seramai 380 orang pelajar sekolah berkenaan yang mempamerkan kebolehan mereka dengan menyasarkan pengunjung daripada para pelajar dan guru-guru Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, Institut Teknologi Brunei, Sekolah Perdagangan, Universiti Brunei Darussalam, Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah, Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan Sekolah Menengah PJN Mumong Kuala Belait.

Para pengunjung yang datang bukan sahaja berpeluang menyaksikan pameran, malah berinteraksi dengan para peserta dan meninjau modul-modul yang dihasilkan di bilik yang telah disediakan di kampus tersebut namun juga terlibat serta dari segi pengundian, yang mana kotak-kotak undian telah disediakan bagi mereka membuat pilihan, tiga kumpulan dengan idea terbaik akan menerima hadiah berupa wang tunai dan piala.

Pameran itu telah dibahagikan mengikut kategori iaitu Voting Ballot, yang mana pengunjung diberikan peluang untuk mengundi idea yang munasabah serta mampan, seterusnya Kategori Group Pitch iaitu pelajar-pelajar yang terlibat diberikan waktu yang ditetapkan untuk berusaha meyakinkan para juri undangan dari Kampung Keusahawanan dan juri dari Sekolah Perdagangan Politeknik Brunei berkaitan kebolehan idea-idea yang dipamerkan.

Salah sebuah kumpulan yang menyertai pameran berkenaan, menampilkan idea kreatif dan inovatif mereka.
Salah sebuah kumpulan yang menyertai pameran berkenaan, menampilkan idea kreatif dan inovatif mereka.

Manakala kategori terakhir, Station Judging pula pelajar-pelajar yang terlibat akan dinilai dari segi profesionalisme, baik dari segi alat bantu visual dan prototaip, mahupun kebolehan mereka untuk memberi inspirasi kepada para tetamu yang hadir.

Penghakiman ke atas pameran tersebut juga dinilai daripada keupayaan meyakinkan penonton, perancangan dan persediaan, keyakinan dalam sesi soal jawab dan pengurusan profesionalisme dari segi masa, kemahiran lisan, persembahan dan pakaian.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada kumpulan yang menang telah diadakan pada sebelah petang majlis yang disempurnakan oleh tetamu kehormatnya, Ketua Pendidikan Teras, Kampung Keusahawanan, Universiti Brunei Darussalam, Awang Abu Mah Da bin Haji Abdul Wahab.

ARTIKEL YANG SAMA