EPK baik, tapi perlu dipertingkatkan

EPK baik, tapi perlu dipertingkatkan

Oleh Pg Fairol RMF & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan bahawa Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) 04/2015 berjalan dengan baik.

Bagaimanapun, Baginda menyeru agensi-agensi pengendalian kecemasan mempertingkatkan lagi (keupayaan dan keberkesanan mereka dalam menghadapi sebarang insiden yang tidak diduga).

Baginda Sultan bertitah demikian sebagai menjawab soalan media semasa berkenan berangkat melawat ke beberapa agensi dan kawasan yang terlibat dalam eksesais berkenaan yang bermula di Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.

Eksesais selama tiga hari itu bertujuan untuk menguji secara komprehensif tindak balas agensi-agensi terhadap pelbagai senario dan memastikan Negara Brunei Darussalam bersiap sedia untuk menangani sebarang insiden berbentuk kecemasan dan krisis.

Ini termasuk menyelaraskan kesemua agensi dengan pelan-pelan dan prosedur kontingensi kebangsaan, meningkatkan keupayaan membuat keputusan ketika krisis dan menilai keberkesanan struktur, pelan, prosedur dan keupayaan kebangsaan.

Baginda Sultan semasa berkenan melawat lokasi ‘kapal terbang komersial terhempas’ kelmarin.
Baginda Sultan semasa berkenan melawat lokasi ‘kapal terbang komersial terhempas’ kelmarin.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri dijunjung oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara, dan Setiausaha Tetap (Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Baginda Sultan kemudian berkenan mendengar sembah taklimat daripada Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid.

Selesai lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat meninggalkan Jabatan Perdana Menteri menuju ke Pusat Kawalan Negara, Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong.

Keberangkatan tiba Baginda di Pusat Kawalan Negara, Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei dijunjung oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam.

Selesai di Pusat Kawalan Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan beredar ke Emergency Preparedness and Response Room (EPAR) di Menara Jabatan Penerbangan Awam.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di EPAR Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dan Pesuruhjaya Polis selaku Pengerusi Emergency Operations Centre (EOC), Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.

Baginda Sultan seterusnya berkenan melawat Pusat Media di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang ditubuhkan khusus untuk menangani krisis.

Seterusnya, Baginda Sultan berkenan berangkat ke Pusat Pengurusan Krisis Diraja Brunei di Jalan Kustin. Keberangkatan tiba Baginda Sultan ke pusat berkenaan dijunjung oleh Timbalan Pengerusi Royal Brunei, Mr. Dermot Mannion dan Pengarah Krisis Royal Brunei, Kapten Khalidkhan bin Haji Asmakhan serta beberapa orang ahli Lembaga Pengarah Royal Brunei.

Baginda seterusnya berkenan melawat ke Pusat Operasi Family Assistance and Support Team, Pusat Media serta Family Friends Call Centre sebelum berangkat ke Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri dijunjung oleh Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid selaku Ketua Bersama Sekretariat Eksesais Perisai Kebangsaan 04/2015; Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Haji Ali Rahim bin Abdul Rahman selaku Ketua Bersama Sekretariat Eksesais Perisai Kebangsaan 04/2015; dan Ketua Kualiti Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, Royal Brunei, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid.

RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri merupakan kawasan terlibat di dalam Eksesais Perisai Kebangsaan 04/2015 ini sebagai salah satu kawasan senario krisis di mana sebuah kapal terbang komersial telah terhempas.

Eksesais anjuran Jawatankuasa Keselamatan Negara telah bermula kelmarin dan akan berakhir pada 7 Oktober yang melibatkan beberapa agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA