EPL semakin sengit

EPL semakin sengit

LONDON, 14 Jan (Reuters) – Leicester City menang 1-0 ke atas Tottenham Hotspurs untuk menyemarakkan kembali perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Foxes berkongsi mata dengan pendahulu liga, Arsenal yang dikecewakan jaringan penyamaan Liverpool pada lewat permainan, awal pagi tadi, waktu Brunei.

Pada aksi di Anfield, Arsenal mencatat keputusan seri 3-3 menentang Liverpool, namun kekal di puncak menerusi perbezaan jumlah jaringan selepas mengumpul 43 mata daripada 21 perlawanan.

The Gunners tampak akan menjarakkan diri di kedudukan teratas liga, namun jaringan pemain gantian skuad The Reds, Joe Allen memastikan pelawat tidak pulang dengan mata penuh.

Pelawat begitupun dua kali ketinggalan sebelum mendahului apabila Liverpool membuka tirai jaringan menerusi Roberto Firmino pada minit ke-10 sebelum Aaron Ramsey menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Pemain Tottenham, Harry Kane (kanan) dan pemain Leicester Robert Huth bersaing untuk menguasai bola dalam aksi Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane, semalam. – Reuters
Pemain Tottenham, Harry Kane (kanan) dan pemain Leicester Robert Huth bersaing untuk menguasai bola dalam aksi Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane, semalam. – Reuters

Firminho sekali lagi meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-19, namun kembali disamakan Olivier Giroud pada minit ke-25.

Sepuluh minit selepas babak kedua berlangsung, Arsenal di depan menerusi jaringan kedua peribadi Giroud pada minit ke-55, namun ketika kemenangan hampir dilakar, Allen meledak gol penyamaan buat tuan rumah pada masa kecederaan.

Leicester pula perlu berterima kasih kepada Robert Huth apabila jaringannya pada minit ke-83 perlawanan menghadiahkan kemenangan ke atas Spurs yang turut berada di kedudukan empat teratas liga.

Manchester City dalam pada itu kekal ketinggalan tiga mata di puncak liga selepas turut seri 0-0 menentang Everton, manakala penyandang juara, Chelsea terika 2-2 di laman sendiri menentang West Bromwich Albion.

Sunderland dalam pada itu mendapat suntikan moral untuk kekal di EPL selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Swansea City menerusi kecemerlangan Jermain Defoe yang meledak hatrik.

Begitupun, peluang untuk satu lagi kelab bergelut dengan penyingkiran, Norwich City untuk kekal semakin sukar, apabila tewas 3-1 di Stoke manakala Southampton kembali memperoleh rentak kemenangan selepas menewaskan Watford 2-0.

ARTIKEL YANG SAMA