Era baru monarki Thailand

Era baru monarki Thailand

BANGKOK, 1 Dis – Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn akan diisytiharkan sebagai raja baru Thailand lewat hari ini, menurut pejabatnya, membuka babak baru bagi monarki berkuasa di sebuah negara yang masih lagi berkabung atas kematian ayahandanya.

Vajiralongkorn, 64, yang mewarisi salah satu monarki terkaya di dunia serta negara yang berdepan masalah politik, akan menaiki takhta 50 hari selepas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Menjelang senja di Bangkok, putera tiba di Istana Besar tempat jasad ayahnya diletakkan bagi menjalani ritual keagamaan untuk menandakan hari ke-50 sejak kemangkatannya.

Dalam protokol yang kompleks, putera kemudian akan menerima mengadap para tetamu yang hadir dan para bangsawan termasuk pemimpin junta dan ketua Perhimpunan Perundangan Kebangsaan, yang akan mempelawa Vajiralongkorn untuk menjadi raja.

Anggota pekerja kedai memorabilia meletakkan potret Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk dijual di Bangkok, Thailand pada 30 November. – AP
Anggota pekerja kedai memorabilia meletakkan potret Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk dijual di Bangkok, Thailand pada 30 November. – AP

“Putera Mahkota akan menyampaikan ucapan penerimaan….selepas itu beliau akan memberi penghormatan di hadapan potret raja,” tambah kenyataan itu lagi.

Kuil-kuil Buddha di seluruh negara telah diminta untuk memukul dram dan gong selepas pengisytiharannya.

Beliau akan dinamakan Rama X bagi dinasti Chakri Thailand, namun tidak akan dimahkotakan secara rasmi sehingga pembakaran mayat ayahandanya, yang dijangka tahun depan. – AFP