Erat hubungan dua hala

Erat hubungan dua hala

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah bersama rombongan, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Dhaka, Bangladesh selama empat hari bermula 27 Oktober, bagi mengeratkan hubungan dua hala profesional serta kerjasama pertahanan di antara kedua-dua angkatan tentera negara amnya.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, di sini, semasa lawatan tersebut, Pemerintah ABDB telah mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Mohd Abdul Hamid di Bangabhaban, Pejabat Presiden Bangladesh.

Dalam lawatan itu, Pemerintah ABDB telah memberikan pujian kepada Tuan Yang Terutama atas kegiatan-kegiatan Angkatan Tentera Bangladesh. Presiden Bangladesh turut bergembira kerana Negara Brunei Darussalam dan Bangladesh mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik serta menggalakkan untuk meningkatkan program pertukaran latihan di antara anggota kedua-dua angkatan tentera.

Dalam rangka lawatan kerja yang berakhir 30 Oktober itu, Pemerintah ABDB juga menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan kepada anggota tentera yang terkorban di tugu ‘Shikha Anirban’ di Kantonmen Dhaka. Sejurus tiba di Senakunja, Yang Dimuliakan Pehin telah menerima upacara Kawalan Kehormatan dan turut berkesudian menanam anak pokok.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika membuat lawatan kepada Presiden Bangladesh.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika membuat lawatan kepada Presiden Bangladesh.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika mengunjungi Ketua Pegawai Turus Cawangan Angkatan Tentera Bangladesh.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika mengunjungi Ketua Pegawai Turus Cawangan Angkatan Tentera Bangladesh.

Dalam acara berasingan, beliau juga mengadakan perjumpaan dan kunjungan hormat dengan Ketua Turus Tentera Darat Bangladesh, Jeneral Abu Belal Muhammad Shaful Huq di Markas Tentera Darat, Ketua Turus Tentera Laut Bangladesh, Laksamana Madya Muhammad Farid Habib di Markas Tentera Laut, NBP, Ketua Turus Tentera Udara Bangladesh, Marsyal Udara Abu Esrar di Markas Tentera Udara, dan Ketua Pegawai Turus Cawangan Angkatan Tentera Bangladesh, Leftenan Jeneral Mohd Mainul Islam di Markas Cawangan Angkatan Tentera.

Pemerintah ABDB bersama rombongan seramai lima orang seterusnya meneruskan lawatan ke Maktab Pertahanan Kebangsaan (NDC), Maktab Turus dan Perintah Perkhidmatan Pertahanan (DSCSC) serta Akademi Tentera Bangladesh.

Dalam lawatan itu, beliau turut berkesempatan memberikan pujian kepada institusi-institusi tentera ini kerana tahap kursus latihan mereka yang bertaraf antarabangsa serta turut mengadakan perbincangan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama khususnya mengenai latihan di antara Angkatan Tentera Bangladesh dan ABDB.

Semasa lawatan ini, Yang Dimuliakan Pehin juga menghadiri majlis jamuan makan malam rasmi yang dihoskan oleh Jeneral Abu Belal Muhammad Shaful Huq.