Erat hubungan kakitangan Yayasan

Erat hubungan kakitangan Yayasan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara semua kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini, buat julung-julung kalinya telah mengadakan Sukan Ria Silaturahim Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Padang Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Kebangsaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian sukan ria berkenaan ialah wakil Pengarah Urusan iaitu Penolong Pengarah Urusan 1, Yayasan, Haji Musthapa bin Haji Matahir.

Turut hadir di majlis itu ialah Penolong Pengarah Urusan 2, Yang Di-Pertua dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Badan Kebajikan Pekerja Yayasan, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Yayasan, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ( YSHHB).

Dalam sukan ria yang disertai oleh kira-kira 200 orang peserta itu, sebanyak empat jenis sukan terlah dipertandingkan iaitu Bolasepak 5 sepasukan, Dodge Ball, Kaki Tiga (Sukan tradisi) dan Tarik Kalat di mana ahli-ahli Badan Kebajikan yang merupakan pegawai dan kakitangan Yayasan termasuk guru-guru Sekolah YSHHB telah dibahagikan kepada empat rumah yang diberikan nama sempena nama gelaran ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

Rumah-rumah berkenaan adalah Rumah Seri Kerana (Biru), Laila Setia (Kuning), Indera Pahlawan (Hijau) dan Singa Manteri (Merah).

Acara tarik kalat yang menguji kekuatan para peserta. - Gambar oleh Badan Kebajikan Pekerja YSHHB
Acara tarik kalat yang menguji kekuatan para peserta. – Gambar oleh Badan Kebajikan Pekerja YSHHB

Acara pada sebelah pagi telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ketua Bahagian Keagamaan Badan Kebajikan Pekerja Yayasan, Pengiran Azliman bin Pengiran Haji Osman dan di kuti dengan sesi berkenalan dengan pasukan rumah-rumah kepada Haji Musthapa dan disusuli sesi bergambar ramai.

Dalam acara sukan bagi lelaki, juara bagi acara yang diadakan ialah bagi acara bola sepak dimenangi oleh Laila Setia, Dodgeball dimenangi oleh Seri Kerna, Tarik Kalat oleh Indera Pahlawan dan Kaki Tiga dimenangi oleh Seri Kerna.

Sementara itu, bagi acara sukan perempuan pula, juara bagi acara yang diadakan ialah bagi Dodgeball dimenangi oleh Indera Pahlawan dan bagi Kaki Tiga dimenangi oleh Laila Setia.

Sukan ria ini bermatlamat untuk mengeratkan tali silaturahim antara sesama kakitangan Yayasan di samping menanamkan semangat bersaing dan bekerjasama dalam satu pasukan.

Juara keseluruhan bagi acara ini hanya akan di ketahui pada Majlis Mesyuarat Agung yang akan diadakan pada Jun nanti dan di teruskan dengan penyampaian hadiah.