Erat hubungan kekeluargaan

Erat hubungan kekeluargaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Perkahwinan adalah satu ibadat dituntut oleh syarak yang mendatangkan keberkatan dan keharmonian dalam kehidupan dan juga mengeratkan hubungan sesama manusia.

Bagaimanapun, untuk membentuk dan mengekalkan sebuah keluarga bahagia itu bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Khatib dalam khutbah Jumaat menekankan mengenai institusi perkahwinan, menjelaskan bahawa Islam mengajar umatnya agar menjadikan rumah tangga sebagai sebuah institusi yang aman, selamat, sihat, harmoni dan bahagia untuk seluruh keluarga”.

Pembinaan keluarga yang bahagia ini perlu dilihat melalui peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh setiap isi rumah yang merangkumi ibu bapa dan anak-anak.

“Tanggungjawab ini perlu disemai sejak awal perkahwinan lagi supaya ibu bapa menjadi orang yang pertama memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak,” jelasnya.

Khatib dalam khutbahnya menegaskan, suami atau ayah merupakan ketua keluarga yang berperanan penting dan bertanggungjawab menjaga kemaslahatan, memberikan bimbingan, pimpinan serta didikan kepada isteri, anak-anak, keluarga.

Ini adalah supaya mereka menjadi orang-orang mukmin yang bertakwa serta hidup bahagia lagi sempurna di dunia dan di akhirat.

Tegas Khatib lagi, ini tidak akan dapat dicapai melainkan suami atau ayah itu sendiri terlebih dulu menghayati dan mengamalkan ajaran agama Islam kerana bimbingan dan ikutan yang berkesan adalah melalui contoh dan tauladan.

“Kita menyedari fenomena keluarga masa kini sangat mencabar berbanding pada zaman dulu dan sebagai ketua keluarga, suami perlu menjadikan konsep mawaddah warahmah  iaitu kasih sayang dan belas kasihan,” katanya.

Sebagai asas yang penting dalam kekeluargaan, suami perlu memiliki sifat mesra, menyayangi, mengasihani dan belas kasihan kepada isteri yang mana dalam kehidupan rumah tangga perlu ada sikap saling bantu membantu antara suami dan isteri.

Menurut Khatib lagi, semangat dan sikap bantu membantu adalah nilai-nilai yang luhur dan mulia yang boleh membahagikan keluarga dan diredai oleh Allah S.W.T.

Bukan setakat itu, suami juga digalakkan untuk menolong dan membantu isteri bagi meringankan tugas isteri di samping tidak meninggalkan tanggungjawab yang telah diberikan.

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah di mana Baginda adalah contoh tauladan kepada umat manusia.

Baginda telah menunjukkan peribadi yang baik terhadap keluarga sebagai seorang suami, bapa dan sekali gus ketua keluarga selain sebagai seorang rasul dan nabi dan ketua negara di mana Baginda juga telah berjaya menjadi seorang suami mithali.

Khatib seterusnya menambah dalam khutbahnya, peranan isteri pula wajib mentaati suami dan bertanggungjawab menjaga rumah tangga dengan membantu bekerjasama dalam usaha mewujudkan rumah tangga yang bahagia.

Selain ayah dan ibu, anak-anak juga memainkan peranan dalam sebuah keluarga di mana peranan dan tanggungjawab anak-anak ialah mentaati ibu bapa mereka, bersikap dan bercakap dengan lemah lembut dan bersopan santun. “Kedudukan ibu bapa dalam Islam amat tinggi sehingga seorang anak diwajibkan menghormati dan memuliakan ibu bapanya,” tambahnya.

Khatib seterusnya menjelaskan, pengorbanan ibu bapa adalah sangat besar di mana mereka merupakan insan mulia dan berjasa dalam mengasuh, membesarkan, mendidik dan melengkapkan setiap keperluan anak dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Sementara sebagai seorang anak perlu menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada ibu bapa untuk mendapat keredaan Allah.

Dalam era globalisasi, peralatan moden boleh merapatkan hubungan tetapi apa yang menyedihkan, ia telah disalahgunakan oleh sebilangan orang yang menyebabkan hubungan mesra sesama keluarga menjadi renggang, masing-masing sibuk dengan telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya.

Ini boleh diatasi dengan beberapa cara bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan antaranya ialah dengan menggunakan peralatan tersebut dengan bijak selain merapatkan kekeluargaan dengan mengamalkan sembahyang berjemaah.

“Jadikanlah sembahyang berjemaah bersama keluarga secara rutin kerana boleh membina sebuah keluarga sakinah mawaddah warahmah,” tambahnya.