Erat hubungan silaturahim melalui bola sepak

Erat hubungan silaturahim melalui bola sepak

Oleh Hazman HM

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Satu perlawanan persahabatan bola sepak telah diadakan baru-baru ini di antara Pasukan Bomba dan Penyelamat (Rimba) dan Pasukan Champion 7 yang berlangsung di Padang Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini.

Perlawanan buat julung-julung kalinya diadakan di antara kedua-dua pasukan tersebut berakhir dengan keputusan terikat seri 2-2.

Dalam perlawanan tersebut, Champion 7 dilihat bersemangat apabila mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Awangku Mohd Ashikin bin Pengiran Haji Serpudin dan Muhd Idzamuddin bin Ibrahim yang kekal hingga separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua pula menyaksikan Pasukan Bomba dan Penyelamat (Rimba) berjaya merapatkan kedudukan 2-1 melalui sepakan penalti.

Sesi bergambar ramai di antara kedua-dua pasukan.
Sesi bergambar ramai di antara kedua-dua pasukan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat (Rimba) kemudian berjaya menembusi gawang lawan di babak-babak akhir perlawanan menjadikan keputusan perlawanan terikat seri 2-2 hingga wisel penamat.

Selain sebagai persediaan bagi pertandingan yang akan berlangsung tidak lama lagi, perlawanan persahabatan tersebut diadakan untuk meningkatkan lagi gaya hidup sihat, di samping mengeratkan silaturahim di antara kedua-dua pasukan.